Thursday, August 16, 2007

TASAWWUF DAN KEDUDUKANNYA DI NUSANTARA

OLEH

USTAZ 'UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insha’ Allah apa yang dibicarakan oleh penulis dalam kertas yang sederhana ini ialah kedudukan tasawwuf di Alam Melayu sebagai aspek batin dari Agama Islam dilihat secara ringkas dari segi sejarah, ajaran-ajarannya, amalan-amalannya, serta juga kepentingannya dilihat dari hidup Islamiah termasuk kepentingannya dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup masakini. Termasuk ke dalamnya juga ialah pembicaraan tentang perkara-perkara yang perlu diberi penyelesaian sewajarnya oleh semua pihak yang berwenang sebenarnya supaya aspek kabatinan yang sahih dari Islam Sunni ini terkawal dan berjalan dengan baik memberi panduan kepada manusia dalam menuju kehidupan yang diredhai dalam hidup individu dan kolektif, hidup di dunia dan akhirat, hidup kebendaan dan kerohanian.

Penulis tidak mendakwa apa-apa yang asli dalam pembentangannya ini, bahkan beliau bergantung kepada mereka yang ahli di dalamnya yang menjalankan penyelidikan dan pembentangan tentang bidang ini dengan baiknya dalam bidang mereka masing-masing, samaada bidang sejarah atau amalan dan juga ajarannya.

Sejarah:

Tentang sejarah perkembangan tasawwuf, rasanya tidak perlu kita berpanjang kalam tentangnya.mencukupi kalau disebutkan bahawa tasawwuf merupakan ilmu dan amalan yang berpunca daripada Quran dan Sunnah sebagaimana yang diakui oleh para ulama Islam yang membicarakannya. Antaranya boleh dibuktikan dari kata-kata para ulama Islam seperti berikut:

Dalam fatwa al-Imam al-Hafiz as-Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari rh bila ditanya tentang tasawwuf, jawabnya:

اما اول من اسس الطريقة , فالتعلم ان الطريقة اسسها الوحى السماوى فى جملة ما اسس من الدين المحمدى , اذ هي بلا شك مقام الا حسان الذى هو احد

اركان الدين الثلاثة التى جعلها النبى صلى الله عليه وسلم بعد ما بينها واحدا

واحدا دينا بقوله :"هذا جبريل عليه السلام اتاكم يعلمكم دينكم"(1)

Ertinya:

Maka tentang perkara awal asas tariqah atau tasawwuf maka ketahuilah bahawa tariqah itu asasnya ialah wahyu samawi dalam jumlah apa yang diasaskan dari ajaran agama Nabi Muhammad, kerana tidak ada syak lagi bahawa maqam al-ihsan itu adalah satu daripada rukun-rukun agama yang tiga yang ditetapkan oleh Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam selepas daripada ia menerangkannya satu demi satu sebagai agama yang satu dengan berdasarkan kata-katanya: “Ini Jibril ‘alaihis-salam datang kepada kamu dan mengajarkan agama kamu”.(3) Ianya terdiri daripada Islam, Iman, dan Ihsan.

Maka Islam adalah ketaatan dan ibadat kepada Allah, Iman adalah nur dan aqidah, dan ihsan ialah maqam muraqabah dan musyahadah: iaitu:

ان تعبد الله كانك تراه , فان لم تكن تراه فانه يراك…

Ertinya: “Bahawa engkau menyembahNya seolah-olah engkau melihatNya, maka kalau engkau tidak melihatNya, Ia melihat kamu”.

Kemudian berkata Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari rh dalam risalah berkenaan (2)

فانه كما فى الحديث عبارة عن الا ركان الثلاثة فمن اخل بهذا المقام (الاحسان) الذي هو الطريقة , فدينه ناقص بلا شك لتركه ركنا من اركانه.فغاية ما تدعو اليه الطريقة و تشير اليه هو مقام الاحسان بعد تصحيح الاسلام والايمان.

Ertinya:

Maka sesungguhnya, sebagaimana yang ada dalam hadith itu, ianya adalah ibarat daripada rukun-rukun yang tiga itu. Maka sesiapa yang sunyi daripada makam (al-ihsan) itu, yang merupakan perjalanan rohani (at-tariqah) maka agamanya tidak sempurna tanpa syak lagi, kerana ia meninggalkan satu rukun daripada rukun-rukunnya. Maka matlamat yang ditujukan oleh tarikah yang ditunjukkan olehnya ialah makam al-ihsan selepas daripada pengesahan (tashih) Islam dan imannya.

Dalam “al-Muqaddimah” Ibn Khaldun rh, ahli sejarah Sunni yang muktabar itu terdapat kenyataan:

وهذا العلم-يعني التصوف- من العلوم الشرعية الحادثة فى الملة,

واصله ان طريقة هؤلاء القوم لم تزل عند سلف الامة وكبارها من الصحابة والتابعين ومن بعد هم طريقة الحق والهداية , واصلها العكوف على العبادة

, والانقطاع الى الله تعالى, والاعراض عن زخرف الدنيا وزينتها , والزهد

في ما يقبل عليه الجمهور من لذة ومال وجاه, والانفراد عن الخلق, والخلوة

للعبادة, وكان ذلك عاما في الصحابة والسلف.

Ertinya:

… dan ilmu ini, iaitu ilmu tasawwuf, ialah termasuk ke dalam ilmu-ilmu Syara’ yang timbul dalam umat ini; dan asalnya ialah perjalanan rohaniah kaum mereka itu yang terus menerus berada pada Orang Salaf umat ini dan para pemimpin mereka yang besar-besar dari kalangan Sahabat dan Tabi’in dan yang datang kemudian daripada mereka yang berupa perjalanan yang hak dan hidayat (sebenarnya), dan dasarnya ialah menekuni ibadat dan memutuskan dari yang lain menuju kepada Allah, serta berpaling daripada kegemilangan dunia dan perhiasannya (yang sia-sia), juga zuhud terhadap apa yang kebanyakan manusia berhadap diri mereka kepadanya, terdiri daripada kelazatan (jasmaniah), harta kekayaan (yang berlebihan) dan kedudukan, serta terasing daripada manusia ramai (dengan syarat-syaratnya yang tepat) serta berasingan untuk ibadat, dan yang demikian itu am berlakunya dalam kalangan Sahabat dan Orang Salaf. Kemudian bila berkembang merebak perbuatan manusia berhadap diri kepada dunia (dengan cara yang menyalahi agama) dalam abad kedua (Hijrah) dan zaman selepasnya, dan manusia cenderung kepada bercampur dengan (urusan) dunia (yang sia-sia), akan mereka yang menekuni ibadat itu dikhususkan dengan panggilan nama golongan tasawwuf (as-sufiyyah). (4)

Al-Kalabadhi rh (men. 380 Hijrah) dalam “Kitab at-Ta’arruf”nya, selepas daripada memberi gambaran tentang mereka yang suci peribadinya dan agamanya dengan sesuci-sucinya dalam kalangan umat ini menyatakan:

… dalam masa hayatnya (iaitu hayat baginda saw) mereka adalah ahli Suffah (ahli serambi masjid Nabi di Madinah) dan selepas wafatnya mereka merupakan orang-orang yang paling afdhal umat ini. Selepas itu mereka yang pertama itu tidak lalai daripada menyeru yang keduanya, dan golongan tabi’in menyeru yang berikutnya, dengan lidah amalnya (iaitu dengan contoh tauladan dan perbuatan) yang membebaskannya daripada keperluan berkata-kata. Tetapi cita-cita rohani menjadi berkurang dan kekuatan azam menjadi lemah; dan dengan ini datang pula pelbagai soalan dan jawapan, kitab-kitab dan risalah-risalah; makna-makna batinnya diketahui oleh mereka yang mengarangnya, dan dada (iaitu hati) (mereka yang membacanya) bersedia untuk memahaminya. (kata Arberry ini merujuk kepada zaman Muhasibi, Junaid dll). Akhirnya maknanya hilang dan namanya sahaja yang tinggal (iaitu makna sebenar ilmu dan amalan tasawwuf hilang dan yang ada hanya nama tasawwuf sahaja), isinya menghilang dan bayangnya sahaja yang menggantinya; penghayatan sebenarnya menjadi perhiasan (bukan dicapai sebenarnya), dan pengesahan hanya menjadi hiasan. Orang yang tidak mengetahui (hakikat kebenaran sesungguhnya) berpura-pura memilikinya, dan orang yang tidak pun menggambarkannya memperhiaskan dirinya dengannya; orang yang ada atas lidahnya sahaja menafikannya dengan amalannya, dan orang yang mempertunjukkannya dalam huraian-huraiannya menyembunyikannya dengan dengan fe’el perbuatannya yang sebenarnya. Perkara yang bukan termasuk ke dalamnya dimasukkan ke dalamnya, apa yang tidak ada di dalamnya dinisbahkan kepadanya; yang benar itu dijadikan palsu, dan orang yang mengenalnya dikatakan jahil. Tetapi mereka yang mengalaminya (hakikat yang sebenarnya) memencilkan diri, kerana ghairah terhadapnya: orang yang memberi gambaran tentangnya menjadi senyap, kerana ghairah terhadapnya. Maka hati manusia lari daripadanya, dan jiwa manusia pergi; ilmu itu dan ahli-ahlinya, huraian dan amalannya menghilang; yang jahil menjadi orang-orang yang berilmu, dan yang berilmu itu menjadi pembimbing. (5)

Nyata bahawa tasawwuf pada makna dan hakikatnya, pada ahli tasawwuf dalam Islam sendiri, adalah ilmu dan pengalaman yang bermula semenjak zaman Nabi dan Sahabat lagi, dan seterusnya.

Al-Kalabadhi rh menyatakan dalam bahagian awal kitabnya itu bahawa ia menulis ini ialah:

… untuk mempertahankan mereka (iaitu ahli tasawwuf dan ilmu mereka) daripada kedengkian mereka yang dengki, juga daripada penafsiran jahat mereka yang jahil (termasuk yang dipengaruhi oleh unsur-unsur anti kerohanian zaman sekarang); manakala dalam masa yang sama kitab ini menjadi sebagai pembimbing bagi mereka yang menjalani jalan menuju kepada Allah, dan memerlukan Allah bagi mencapai penghayatan perkara ini. Saya lakukan ini selepas mengkaji dan mempelajari dengan mendalamnya tulisan-tulisan mereka yang ahli dalam bidang ini, dan menapis dan memilih kisah-kisah mereka yang benar-benar mencapai penghayatan yang sebenarnya: lebih-lebih lagi saya berhubung dengan orang-orang yang sedemikian itu, dan bertanya kepada mereka (bukan hanya mengandai-andai mengikut teori sendiri atau yang dipengaruhi oleh para Orientalis yang serong pandangannya) … (6).

Abu ‘Abdullah Muhammad Siddiq al-Ghumari menyatakan (7):

Dan apa yang menyokong dan menguatkan apa yang disebut oleh Ibn Khaldun rh tentang sejarah lahirnya tasawwuf ialah apa yang disebutkan oleh al-Kindi, dan beliau adalah orang kurun ke empat (Hijrah), dalam kitab “Wulat Misr” dalam peristiwa tahun dua ratus; bahawa timbul di Iskandariah golongan yang dipanggil dengan nama Sufiyyah yang menyuruh kepada melakukan kebaikan. Demikian pula apa yang disebutkan oleh al-Mas’udi dalam “Muruj adh-Dhahab” dalam menghikayatkan (hal itu) dari Yahya bin Aktham. Maka katanya: ‘Sesungguh nya Khalifah al-Ma’mun pada suatu hari duduk dalam majlis penghadapannya waktu itu masuklah bertemu dengannya ‘Ali bin Salih al-Hajib; katanya: ‘Amir al-Mu’minin, ada seorang lelaki berdiri dipintu, ia memakai pakaian putih yang kasar, ingin masuk untuk berbincang, maka aku ketahui ia adalah dari golongan sufiyah. Maka dua kisah ini menjadi saksi bagi kata-kata Ibn Khaldun (dan juga kata-kata al-kalabadhi-p) tentang timbulnya tasawwuf.

Selepas berbicara tentang perkembangan tasawwuf semenjak zaman Nabi, para Sahabat dan Tabi’in dan seterus, dan selepas berbicara tentang mereka yang tidak disetujuinya, Ibn Khaldun rh memberi penghargaan dan pengakuan tentang golongan sufiyyah dan ilmu serta pengalaman mereka. Katanya: (8)

Mengenai perbincangan mereka tentang latihan rohani, dan maqam-maqam, tentang pengalaman mistik dan keghairahan rohani yang dicapai hasil daripadanya, dan tentang muhasabah diri berkenaan dengan (mungkin)terjadinya kekurangan dalam perkara-perkara penyebab pencapaian pengalaman-pengalaman ini, ini adalah perkara-perkara yang tidak seorangpun wajar menolaknya. Pengalaman-pengalaman kerohanian para ahli tasawwuf itu benar adanya, dan realisasinya adalah intisari dari kebahagiaan.

Adapun tentang karamah yang dialami oleh para ahli sufi, berita tentang hal-hal ghaib, serta kegiatan mereka di kalangan makhluk ciptaan Tuhan, ini juga benar adanya dan tidak dapat ditolak, meskipun sebahagian dari ulama cenderung untuk menolaknya. Ini tidak benar. Ustaz Abu Ishaq al-Isfara’ini seorang ulama terkemuka aliran Ash’ari berhujah menolak menolak perkara tersebut kerana mungkin ianya menjadi terkeliru dengan mu’jizat. Bagaimanapun para ulama ahli tahkik yang muktabar dan berwibawa di kalangan Ahlis-Sunnah telahpun membuat perbezaan yang jelas antara karamah para Sufi dengan mu’jizat yang sama-sama bersifat ghaib. Mereka mengatakan bahawa tidak mungkin mu’jizat terjadi menurut pengakuan orang yang bohong. Logik menuntut bahawa bahawa mu’jizat menunjukkan benarnya (orang yang berkenaan). Secara takrifnya mu’jizat boleh disahkan. Kalau ianya berlaku pada pembohong, ianya tidak boleh disahkan, dan ianya akan berubah cirinya, dan itu tidak munasabah. Alam wujud ini telah membuktikan banyak terjadinya karamah. Penolakannya berupa satu pendekatan membesarkan diri. Karamah juga terjadi pada para Sahabat sekitar Nabi Muhammad saw dan para Muslimin zaman awal Islam. Itu berita yang terkenal dan masyhur.

Kebanyakan dari perbincangan para Sufi tentang kasyaf dan penerimaan hakikat-hakikat alam yang lebih tinggi (‘alawiyyat) dan susunan tertib timbulnya makhluk-makhluk yang dijadikan, dari satu segi, termasuk ke dalam perkara-perkara yang tidak nyata maksudnya (mutashabih). Sebab itu berdasarkan pengalaman intuitif para Sufi dan mereka yang tidak ada pengalaman intuitif itu tidak dapat merasakan pengalaman (yang diterima oleh mereka). Tidak ada bahasa yang boleh melafazkan perkara-perkara yang (para Sufi) hendak kemukakan dalam hubungan ini, kerana bahasa hanya diciptakan hanya untuk (mengungkapkan) konsep-konsep yang diterima umum di kalangan manusia ramai, yang kebanyakanannya digunakan untuk benda-benda yang dikesani pancaindera. Oleh itu maka kita perlu bersusah payah menyusahkan para Sufi dengan membincangkan perkara-perkara ini. Kita biarkan sahaja perkara-perkara demikian itu, sebagaimana kita membiarkan sahaja kenyataan-kenyataan mutashabihat (dalam Qur’an dan Sunnah). Mereka yang Allah kurniakan sedikit sebanyak pengertian tentang ungkapan-ungkapan (para Sufi demikian) dengan cara yang bersesuaian dengan makna lahiriah hukum Syara’ sesungguhnya mencapai kebahagiaan.

Akhirnya, berkenaan ungkapan-ungkapan yang menimbulkan syak yang disebut oleh para Sufi sebagai “kata-kata dalam keghairahan rohaniah” (al-shatahat) yang menyebabkan timbul kecaman ahli Syariat. Ketahuilah, dalam hubungan dengan perkara-perkara seperti ini, maka yang adilnya terhadap (para Sufi itu) ialah kita (memerhatikan) bahawa mereka adalah kaum yang terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera. Ilham atau inspirasi telah menakluki mereka. Dengan itu maka mereka menyatakan perkara-perkara dalam pengalaman mereka yang bukan perkara yang mereka hendak nyatakan. Seseorang yang terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera tidak boleh diajak berbicara. Orang yang dipaksakan melakukan tindakan dimaafkan (bila ia melakukan sesuatu itu). Para Sufi yang terkenal dengan keunggulan watak mereka yang patut dicontohi, dianggap bertindak dengan jalan yang benar dalam perkara ini dan yang sebangsa dengannya. Adalah sukar bagi seseorang itu mengucapkan kata-kata dalam keghairahan rohaniah, kerana belum ada cara-cara yang dikenali untuk mengungkapkannya. Inilah pengalaman Abu Yazid al-Bistami dan yang lainnya seperti beliau itu. Bagaimanapun orang-orang tasawwuf yang keunggulannya belum dikenali dan yang tidak termaklum terkenal, patut diambil salah kalau mereka membuat ungkapan-ungkapan demikian, kerana (maklumat) yang menyebabkan kita membuat penafsiran (untuk menghilangkan sangka buruk terhadap mereka) adalah tidak jelas bagi kita. (Tambahan lagi, mana-mana orang tasawwuf) yang bukan terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera dan yang bukannya dikuasai oleh hal kerohanian, bila mereka itu mengeluarkan kata-kata jenis ini, mereka juga patut diambil salah. Oleh itu, para fuqaha dan ahli sufi memutuskan hukuman bahawa al-Hallaj mesti dibunuh sebab ia bercakap (secara kata-kata dalam keghairahan rohanian) sewaktu beliau tidak dalam keadaan terkeluar (daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera) tetapi dalam keadaan mengawal hal rohani dirinya. Dan Allah Maha Mengetahui.

Para ahli sufi yang awal itu yang disebut dalam kitab al-Risalah (karangan al-Qushairi rh), dan pemuka-pemuka Islam yang telah kami sebutkan sebelum ini tidak pernah mempunyai keinginan membuka tabir (kashf al-hijab) dan hendak mempunyai pemandangan (yang bersifat alam ghaib) seperti itu. Perhatian mereka hanya untuk mengikut tauladan unggul mereka dan mengamalkan cara hidup utama setakat yang termampu oleh mereka. Kalau mereka mengalami pengalaman alam ghaib, mereka mengelak daripadanya dan tidak mempedulikannya. Bahkan mereka cuba mengelak diri daripadanya. Mereka berpendapat hal itu adalah satu halangan dan ujian yang termasuk ke dalam persepsi jiwa yang biasa, dan oleh itu sesuatu yang diciptakan. Mereka juga mengatakan bahawa persepsi manusia tidak boleh mencakupi semua yang maujud, dan bahawa Ilmu Allah adalah Lebih Luas, makhluk ciptaanNya lebih besar, dan Hukum Syara’Nya lebih boleh menjadi pertunjuk (berbanding dengan pengalaman kerohanian apapun). Oleh itu mereka tidak berbicara tentang mana-mana persepsi (kerohanian luar biasa mereka). Bahkan mereka melarang perbincangan mengenai persoalan itu dan mencegah para pengikut mereka yang tabir (pengamatan dan pengesanan pancainderanya) telah tersingkap daripada berbicara tentang perkara itu, atau daripada memberi perhatian kepada perkara-perkara itu. Mereka secara terus menerus mengikut tauladan dan menurut kehidupan yang patut dicontohi sebagaimana yang mereka telah lakukan dalam dunia persepsi pancaindera sebelum terangkat (lapisan hijab), dan mereka menyuruh para murid mereka melakukan perkara yang sama. Demikian seharusnya keadaan seorang sufi yang baharu dalam perjalanan (murid). Dan Allah-lah Yang memberi kejayaan sesungguhnya.

Penulis membuat nukilan ini untuk memberi perhatian kepada kedudukan ilmu ini dan para ahlinya di kalangan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, supaya dengan itu kenyataan-kenyataan yang tidak patut timbul terhadap golongan ini, iaitu golongan sufiah sebenarnya, berbeza daripada golongan yang tidak sebenarnya, yang berpura-pura, tidak timbul menjadi masalah palsu dalam umat kita ini.

Tanpa keperluan memberi perhatian kepada perkara-perkara lain lagi seperti takrif tasawwuf misalnya, yang sudah termaklum, penulis ingin meneruskan perbincangan tentang perkembangan tasawwuf dalam umat Islam.

Ilmu dan amalan tasawwuf itu berkembang terus, walaupun pernah mendapat tentangan dari setengah fuqaha, ianya mendapat pembelaan daripada ramai ulama, khususnya Imam al-Ghazali rd (meninggal tahun 1111 Masihi (505H)) yang mengesahkan kedudukan tasawwuf sebagai satu daripada ilmu-ilmu yang diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah, antaranya sebagaimana yang dinyatakannya dalam “Kitab al-‘Ilm” dalam Ihya’nya dan juga kitab autobiografi rohaninya ‘al-Munqidh mina’d-Dalal’. Dengan itu maka kedudukan tasawwuf menjadi teguh dalam skema ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Kajian sarjana Barat yang terbaik sampai kini tentang perkembangan tariqah-tariqah dan tasawwuf dalam Islam ialah The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham (9). Bagaimanapun kita bukanlah hendak mendetail tentang perkembangan ini. Yang penting ialah dalam abad-abad ke 14 dan ke 15 zaman al-Maqrizi garis-garis perkembangan tariqah-tariqah sufiyyah itu terbentuk dengan jelas nyata dalam Alam islam.(10). Beliau membuat kenyataan berkenaan dengan “para fuqara’ Ahmadiyyah dan Rifa’iyyah” di Kahirah. Dan lebih kurang pada masa yang sama golongan Qadiriyyah mula berkembang dan satu cawangan daripadanya dibentuk di Damsyik pada akhir abad ke 14 Masihi. Maqrizi menyatakan bahawa Azhar terbuka untuk para sufi dan majlis zikir diadakan di sana.Di kota-kota Islam lainnnya tariqah-tariqah sufiyyah berkembang mendapat pengikut-pengikutnya.

Antara tariqah-tariqah yang dibicarakan ialah Suhrawardiyyah - dari nama Abun-Najib al-Suhrawardi rh ‘al-Rifa’iyyah, Qadiriyyah, al-Syadhiliyyah, al-Kubrawiyyah, al-Yasaviyyah, al-maulawiyyah, Khawajagan-Naqsyabandiyyah, Chistiyyah, Suhrawardiyyah di India, dengan cawangan-cawangannya pula. Antaranya ialah tariqah Tijaniyyah, Darqawiyyah dan cawangan-cawangannya, Ahmadiyyah, Mirghaniyyah, Sanusiyyah.(bab 2, 3 dan 4 karangan Trimingham). Tariqah-tariqah itu tersebar ke Nusantara dengan kedatangan Islam ke rantau ini.

Antara maklumat-maklumat tentang perkembangannya boleh didapati dari penyelidikian Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (12), A.H.Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14) dan beberapa artikel dalam JMRAS oleh Dr Drewes dan lainnya. Termasuk antara yang terpentingnya ialah buku The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, diedit oleh Alijah Gordon yang diterbitkan oleh MSRI baru-baru ini, yang terdiri daripada penyelidikan beberapa sarjana seperti Kern, Drewes, dan lain-lainnya.

Tanpa berpanjang kalam tentang ini, sebab minat penulis bukan sangat segi sejarahnya, tetapi aspek-aspek lainnya, maka memadailah kalau dibuat beberapa kenyataan berkenaan dengan pengembangan tariqat dan tasawwuf di Dunia Melayu ini dengan mengambil kira beberapa seginya sahaja.

Dalam merumus kembali dengan ringkas tentang kedatangan Islam ke Dunia Melayu, M.V.Bruinessen menyebut kembali tentang kedatangan itu berlaku melalui perdagangan, aliansi politik antara para pedagang Muslim dan raja, perkahwinan antara para pedagang Muslim dengan para puteri bangsawan tempatan, sedikit sekali berlaku penggunaan pedang di dalamnya, secara umum proses pengembangannya berjalan dengan seruan Islam secara damai. Terdapat pendapat bahawa tasawwuf memainkan peranan yang menentukan dalam proses itu (15). Dan ini faktor penting untuk kita bicarakan.

Antara fakta-fakta yang berfaedah diingatkan berhubungan dengan perkembangan tasawwuf di Dunia Melayu ialah beberapa tarikh berkenaan dengan ahli-ahli sufi yang terkemuka Alam Islam. Antaranya ialah Imam al-Ghazali yang banyak berbicara segi akhlak dalam tasawwuf. Ibn ‘Arabi yang banyak menimbulkan pengaruh kemudiannya (men. 1230 Masihi). ‘Abd al-Qadir al-Jilani yang menjadi asas tariqah Qadiriyyah (men. 1166 Masihi), dan Abun-Najib al-Suhrawardi yang namanya menjadi nama bagi tariqah Suhrawardiyyah (wafat tahun 1167 Masihi). Najmuddin al-Kubra, tokoh sufi Asia Tengah pendiri tariqah al-Kubrawiyyah, dan berpengaruh terhadap tariqah Naqsyabandiyyah (men. 1221), Abul-Hasan a-Syazili sufi Afrika Utara pendiri tariqah yang memakai namanya (men. 1258), dan Baha’uddin al-Naqsyaband (men. 1389) dan pendiri tariqah Syattariyyah (men. 1428-9). (16).

Boleh dikatakan bahawa ajaran Islam yang disampaikan kepada Dunia Melayu sangat dipengaruhi oleh ajaran tasawwuf. Para sejarahwan menyatakan bahawa inilah yang menyebabkan Islam menarik kepada mereka di Asia Tenggara, dan boleh dikatakan bahawa tasawwuf dengan ajaran dan amalannya menyebabkan berlakunya proses Islamisasi Asia Tenggara, selain daripda faktor-faktor lainnya.

A. H. Johns ahli sejarah Australia itu menyatakan bahawa Islamisasi tersebut berlaku dengan adanya dakwah yang cergas dilakukan oleh para penyebar sufi yang datang bersama-sama dengan para pedagang Muslim. Para pendakwah yang bersifat sufi ini disebutkan dalam punca-punca pribumi. Berhubungan dengan perkembangan tariqah dan tasawwuf sumber-sumber paling awal nampaknya berasal dari akhir abad ke-16.

Nampaknya dalam naskhah-naskhah Islam yang palingtua dari Sumatera dan Jawa yang ada sekarang yang dibawa ke Eropah sekitar tahun 1600 ditemui tidak hanya risalah-risalah tasawwuf dan cerita-cerita ajaib berasal dari Parsi dan India tetapi juga kitab fiqh yang sahih. (17). Risalah-risalah agama berbahasa Jawa paling tua yang masih ada sekarang nampaknya menunjukkan adanya usaha mencari keseimbangan antara ajaran akidah, fiqh dan tasawwuf. Hanya dalam tulisan-tulisan Jawa pada masa belakangan ini adanya ajaran-ajaran tasawwuf yang jauh lebih kental. Tentang tariqah nampaknya tidak begitu banyak pengikut sebelum akhir abad ke-18 dan 19. (18).

Para Sufi Sumatera:

Dalam Aceh di abad ke-16 dan ke-17 terkenal nama-nama ahli tasawwuf seperti Hamzah fansuri, Nuru’d-Din al-Raniri, dan ‘Abdu’r-Rauf Singkel yang semuanya merupakan ulama terkenal di Aceh waktu itu. Aceh waktu itu penting sebagai wilayah penghasil ladang dan ia terlibat dalam perdagangan internasional waktu itu. Para rajanya mencintai ilmu pengetahuan dan seni dan dengan itu ianya menjadi pusat utama perkembangan ilmu-ilmu Islam. Hamzah mengungkapkan secara canggih dengan bahasa yang tinggi antara melalui syair ajaran sufi yang bersifat wahdatul-wujud. Dalam pengembaraannya yang banyak di Arabia, Baitul Maqdis, Baghdad, Ayuthia ia mendapat hubungan dengan golongan sufiah. Diisyaratkan bahawa ia mendapat hubungan dengan tariqah Qadiriah.Bagaimanapun namanya tidak tertera dalam silsilah Qadiriah Nusantara.

Selain Hamzah ialah Shamsuddin (men. 1630) yanhg menulis dalam Bahasa Melayu dan Arab. Dia orang pertama nampaknya yang memberi huraian tentang martabat tujuh yang berupa adaptasi dari teori yang ada dalam karangan Ibn ‘Arabi, yang kemudiannya menjadi popular di Dunia Melayu. Dikatakan mungkin beliau mengikut jejak pengarang dari Gujerat iaitu yanjg bernama Muhammad Fadlu’Llah Burhyanpuri dengan kitab karangannya al-Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi yang diselesaikan tahun 1590 yang menjadi popular di kalangan Muslimin Dunia Melayu. Shamsuddin adalah tidak diketahui samaada ia mengadakan perjalanan ke India atau ke Tanah Arab dan mungkin ia mengenali karangan Burhanpuri di Aceh dan bukan sangat di India atau di Tanah Arab. Burhanpuri pula berikat dengan tariqah Syattariyyah, tetapi tidak diketahui adakah Shamsuddin berikat dengan tariqat itu. Yang diketahui kemudiannya tariqat Syattariyyah menjadi popular di Nusantara melalui mereka yang menunaikan ibadat haji. (19).

Nuru’d-Din al-Raniri berasal dari Gujerat, India.Beliau menetap di Aceh selama tahun 1637-44 dan menjadi tokoh yang sangat berpengaruh dan beliau adalah penasihat raja. Keluarganya sudah pernah berhubung dengan orang-orang Aceh; bapa saudaranya bernama Muhammad Jilani al-Raniri menjadi guru di Aceh. Nuruddin menyatakan bahawa bapa saudaranya datang ke Aceh untuk mengajar fiqh, tetapi didesak oleh keadaan untuk terlibat dalam perdebatan tentang ajaran-ajaran tasawwuf; lalu ia pergi ke Mekah untuk mendapat ilmu yang diperlukan, dan setelah pulang dari sana ia mendapat ramai muridnya di Aceh. Nurud-din mengadakan polemik menentang murid-murid Syamsuddin yang dituduhnya menganut faham pantheisme atau serba-Tuhan sampai mereka dikenakan hukum bakar. Kemudiannya beliau terpaksa meninggalkan Aceh

Nuruddin sendiri menganut faham wahdatul-wujud “yang lebih moderat” (20). Pada faham ini dunia pada hakikatnya tidak ada dan hanya merupakan cerminan atau bayangan dari Hakikat yang sebenarnya. (21). Beliau sendiri mengamalkan tariqah Rifa’iyyah dan silsilah yang diberikannya dalam salah sebuah bukunya menunjukkan bahawa cawangan tariqah yang dianutnya sudah ada di Gujerat, beberapa generasi sebelumnya, dengan orang Arab asal dari Hadhramaut sebagai syeikhnya. Pada abad ke-19 tariqah itu tetap bertahan di Aceh.

Dalam abad-abad kemudian berbagai cawangan tariqah di India sampai ke Dunia Melayu melalui Makkah dan Madinah di mana mereka memberi bai’ah di sana. Nampaknya inilah caranya tariqah Syattariyyah yang berasal dari India itu sedemikian kuat pengaruhnya di Jawa dan Sumatera.

Berkenaan dengan ‘Abdu’r-Rauf Singkel, sufi besar Aceh yang terakhir, boleh diingatkan beliau ini menghabiskan masanya tidak kurang dari 19 atau 20 tahun di Makkah dan Madinah, dan mempalajari ilmu-ilmu Islam pada para ulama besar di sana pada zaman itu. Bila kembali pada tahun 1661 beliau menjadi faqih terkemuka di Aceh dan juga guru sufi yang terkenal, yang memberi perimbangan antara mereka yang mendahuluinya. Beliau mengajarkan wirid dan zikir Syattariyyah. Beliau mngembangkan tariqah ini sampai ianya tersebar dari Aceh ke seluruh Sumatera dan Jawa sampai sekarang. (22).

Tanah Arab -Mekah dan Madinah Sebagai Pusat Perkembangan Tasawwuf Asia Tenggara:

Ibadat haji merupakan kemuncak cita-cita kehidupan Muslim yang taat. Maka Muslimin di Dunia Melayu yang berkemampuan datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji mereka, dan dalam masa yang sama ada dikalangan mereka yang menetap di sana. Nampaknya bilangan meraka yang menunaikan haji agak ramai berbanding dengan mereka yang datang dari wilayah lain apa lagi bila diambil kira jaraknya yang jauh dari Dunia Melayu.Orang-Orang Nusantara yang datang ke sana mempelajari ilmu-ilmu Islam dan ada di kalangan mereka yang mengambil tariqah daripada para ulama terkenal di sana, dan kemudiannya membawa ajaran itu pulang ke Nusantara.

Pada abad ke 17 antara ulama yang terkenal itu ialah Syaikh Ahmad al-Qasyasyi, Ibrahim al-Kurani, dan putra Ibrahim, Muhammad Tahir di Madinah. Pada abad ke 18 pula ulama Madinah yang terkenal Syaikh Muhammad al-Samman sangat berpengaruh ke atas oang-orang Dunia Melayu. Pada pertengahan abad ke-19 ulama dan sufi asli Indonesia, Ahmad Khatib Syambas di Makkah menjadi pusat perhatian utama orangf-orang Jawa, dan dalam separuh yang kedua abad yang sama suyaikh-syaikh di zawiyah tariqah Naqsyabandiyyah di Jabal Qubais di Makkah mengatasi pengaruh ulama lainnya.(23).

Al-Qasyasyi (men. 1660) dan al-Kurani (men. 1691) merupakan wakil gabungan tradisi India dan Mesir. Di satu pihak mereka pewaris keilmuan sebagai ulama dari Zakaria Ansari dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani dalam fiqh dan tasawwuf, dan dari segi lain pula mereka mengambil bai’ah menjadi pengikut tariqah dari India, yang paling berpengaruh antaranya ialah tariqah Syattariyyah dan Naqsyabandiyyah. Dua tariqah ini mulanya diperkenalkan di Madinah oleh seorang India bernama Sibghatu’Llah yang menetap di sana sejak tahun 1605. Al-Kurani, seorang Kurdi, mungkin mengenal persuratan Islam dalam Bahasa parsi datri India; selain itu ia ahli hadith dan suka pula kepada metafisika. Dalam beberapa pertelingkahan pendapat yang sengit nampaknya ulama India menjadikannya sebagai rujukan. Orang Dunia Melayu juga nampaknya demikian sikapnya.Atas permintaan mereka beliau menulis syarah atas kitab Tuhfah karangan Burhanpuri, dengan memberi penafsiran aliran Ahlis-Sunnah.

Antara tariqah yang diajarkan oleh al-Qasyasyi dan al-Kurani tariqat Syattariyyah digemari oleh orang Indonesia.Di Timur Tengah kedua syaikh ini terkenal sebagai penganut tariqah Naqsyabandiyyah. ‘Abdu’r-Rauf yang tersebut di atas murid paling terkenal dari keduanya merupakan ulama paling terkenal antara murid mereka, tapi mungkin ada ramai lagi murid-murid mereka itu selain daripadanya. ‘Abdu’r-Rauf dihantar ke Dunia Melayu sebagai khalifah.

Selama beberapa generasi para penuntut ilmu dari Dunia Melayu di Tanah Arab belajar pada para pengganti al-Kurani dan mengambil bai’ah untuk mengikut tariqah Syattariyyah.Pada pendapat M. Van Bruinessen melalui tariqah inilah berbagai gagasan metafisika tasawwuf dan klasifikasi simbolik yang didasarkan atas ajaran martabat tujuh menjadi bahagian daripada kepercayaan popular orang Jawa.

Seorang ulama lagi yang srezaman dengan ‘Abdu’r-Rauf ialah Yusuf Makassar yang dimuliakan sebagai wali utama Sulawesi Selatan. Dia menghabiskan masanya dua dekad di Tanah Arab dan belajar dengan Ibrahim al-Kurani dan lainnya dan mengembara sampai ke Damsyik. Beliau mengambil bai’ah sejumlah tariqah dan mendapat ijazah untuk mengajarkan tariqah Naqsyabandiyyah, Qadiriyyah, Syattariyyah, Ba’lawiyyah, dan Khalwatiyyah; juga beliau mengaku pernah mengikuti tariqah Dusuqiyyah, Syadhiliyhyah, ‘Aydrusiyyah, Chistiyyah, Ahmadiyyah, Madsriyyah, Kubrawiyyah, dan lainnya. Setelah beliau pulang ke Dunia Melayu pada tahun 1670 beliau mengajar apa yang dikatakannya sebagai tariqah Khalwatiyyah, tetapi berupa teknik kerohanian Khalwatiyyah dan yang lain-lainnya. Tariqah beliau ini berpengaruh di Sulawesi Selatan, terutama di kalangan golongan bangsawan Makassar.

Hampir seratus tahun kemudian orang-orang Jawah di Tanah Arab tertarik kepadaa ajaran ulama yang sangat krismatik iaitu Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman (men. 1775) di Madinah. Beliau seorang penjaga makam Nabi saw dan pengarang beberapa kitab metafisika sufi; beliau dikenal sebagai pendiri sebuah tariqah baru sehingga beliau menjadi orang yang berpengaruh. Dia menggabungkan tariqah Khalwatiyyah, Qadiriyyah, dan Naqsyabandiyyah, dengan tariqah Syaziliyyah dari Afrika Utara. Perpaduan baru ini dengan ratib barunya dikenali sebagai tariqah Sammaniyyah Ini menjadi tariqah tersendiri dengan zawiyahnya tersendiri pula. Beliau terkenal dengan banyak peristiwa-peristiwa luar biasa yang berlaku dalam hubungan dengannya. Muridnya yang paling terkenal di Dunia Melayu ialah Syaikh ‘Abdu’s-Samad al-Falimbani, yang sangat berpengaruh dalam ahli masyarakat dari Dunia Melayu di Tanah Suci dan beliau mengarang sejumlah kitab yang penting dalam Bahasa Melayu. Beberapa ulama lain bersama dengan tariqah Sammaniyyah ini dan tariqah ini mendapat tempat terhormat dalam kalangan kesultanan palembang, bahkan setelah wafat al-Samman Sultan palembang menyediakan dana untuk membangun zawiyah Sammaniyyah di Jiddah.

Setelah wafat al-Samman ramai orang Dunia Melayu yang belajar dengan khalifahnya bernama Siddiq bin ‘Umar Khan.Mereka menyebarkan tariqah ini di Kalimantan Selatan, Batavia, Sumbawa, Sulawesi Selatan, dan Semenanjung Tanah Melayu.Muhamnmad Nafis al-banjari (dari kalimantan Selatan) menulis karya penting dalam bahasa Melayu iaitu al-Durrun-Nafis.

Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah merupakan tariqah gabungan serupa dengan Sammaniyyah, yang di dalamnya teknik-teknik kerohanian tariqah Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah merupakan unsur utamanya, tetapi selain dari itu ada juga unsur-unsur lainnya. Tariqah ini adalah tariqah muktabar yang didirikan oleh ulama Dunia Melayu, Ahmad Khatib Syambas. Beliau yang menghabiskan masa dewasanya di Makkah sangat dihormati di luar kalangan orang Dunia Melayu sebagai ulama yang serba tahu yang menguasai fiqh, akidah dan juga tasawwuf.Ia mendapat ramai murid dan kemudian tariqah ini mengantikan tariqah Sammaniyyah sebagai tariqah yang paling popular di Dunia Melayu.Setelah beliau wafat tahun 1873, atau 1875, khalifahnya ‘Abd al-Karim dari Banten mengantinya sebagai syaikh tertinggi tariqah itu. ‘Abd al-Karim kena kembali dari Banten ke Mekah untuk mengganti kedudukan syaikh. Dua khalifah utama lainnya ialah Kiai Tolhah di Ceribon dan seorang kiai di Madura.’Abd al-Karim adalah pimpinan pusat terakhir tariqah ini.

Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah sekarang ini merupakan salah satu dari dua tariqat yangmemiliki jumlah pengikut yang paling besar di Nusantara. Yang satu laginya ialah tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang tersebar ke seluruh Dunia Melayu berkat zawiyah yang didirikan oleh khalifah dari Maulana Khalid , ‘Abdul ‘Aziz al-Arzinjani di jabal Abu Qubais, Makkah. Para pengganti ‘Abdullah, Sulaiman al-Kirimi, Sulaiman al-Zuhdi, dan ‘Ali Ridha mengarahkan supaya penyebaran tariqah itu terutama kepada orang-orang Jawah yang datang ke Mekah dan Madinah dalam bilangan yang sangat ramai dalam dekad-dekad terakhir abad ke-19. Antara pengembang tariqah Naqsyabandiyyah-Khalidiyyah yang sedang aktiv sekarang ialah Habib Anwar yang pusat kegiatan Nusantaranya ialah di Singapura, dan anak buahnya ada mempunyai pusat suluk di Terengganu, Malaysia

Perkembangan tariqah-tariqah Syattariyyah, Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Rifa’iyyah, Ba’lawiyyah, Khalwatiyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah, dan Rahmaniyyah di bicarakan dengan lanjut lagi oleh sdr Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dalam buku barunya Penyebarann Thariqah-Thariqah Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyyah, Kuala Lumpur, 2000.

Dalam buku itu beliau bukan sahaja menerangkan aspek-aspek sejarah tariqah-tariqah serta dengan peribadi-peribadi penting di dalamnya tetapi juga wirid-wirid dan amalan-amalannya. Penulis ini tidak hendak berpanjang kalam lagi berkenaan dengan hal ini.

Segi Ajaran-Ajarannya:

Secara ringkasnya dilihat dari segi ajarannya tasawwuf yang berkembang di Nusantara, sebagaimana juga tasawwuf asalnya ialah merupakan ajaran aspek rohaniah Islam yang mengintesifikasikan keimanan dan keIslam seseorang atau masyarakat itu. Dengan penekanan atas aspek al-ihsan itu, dengan pemusatan atas akidah yang sahih, sera perlaksanaan ibadat yang baik dan ikhlas, berserta dengan pemupukan sifat-sifat yang murni, maka keIslaman orang yang berkenaan itu mencapai ketinggiannya dengan berkesannya.

Ianya boleh dilihat dari segi mu’amalahnya, sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali rd dalam Ihya’nya dan juga kalau di Nusantara sebagaimana yang dihuraikan oleh Syaikh ‘Abdus-Samad al-Falimbani dalam sair as-Salikinnya. Sebab itu dalam Ihya’ dan Sair as-Salikin maka ditumpukan perhatian kepada aspek ibadat, muamalah, pembersihan daripada sifat-sifat yang keji, dengan aspek-aspek yang diperlukan dari psikologi rohaniah, dan kemudiannya ditumpukan kepada sifat-sifat yang mulia dan bagaimana membentuknya dalam peribadi manusia.kandungan yang sama boleh dilihat dalam Ihya’ karangan Imam al-Ghazali. Demikian pula isi kandungan kitab Ma’uizatul-Mu’minin karangan Jamaluddin al-Qasimi yang merupakan ringkasan kitab Ihya’. Kitab Hikam To’ Pulau Manis yang dikaji oleh Dr Shafie Abu Bakar juga berbicara berkenaan dengan sifat-sifat kerohanian yang lebih intensif sesuai dengan perkembangan mereka yang sudah terkesan dengan baik perjalanannya.Kitab Minhaj al-‘Abidin karangan Imam al-Ghazali yang diterjemahkan oleh Syaikh Daud al-Fatani dalam abad ke 18 juga berbicara bagaimana mencapai tingkatan-tingkatan dalam perjalan manusia menjayakan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan dengan membentuk sifat-sifat utama dengan ilmunya, taubatnya, pembuangan halangan-halangannya sepoerti dunia, nafsu, syaitan, makhluk, demikianseterusnya. Bagaimana membuang sifat-sifat ria, pemalas dalam ibadat, takbur, bagaimana membentuk sifat tawakkal, syukur, puji, redha dan seterusnya dalam rangka menyempurnakan pengabdian manusia kepada Tuhan dan menyempurnakan sifat-sifat rohaniah dirinya.

Antara teks-teks itu ada yang menyentuh sedikit sebanyak aspek-aspek psikologi rohaniah dan perkara-perkara metafisika yang mungkin menimbulkan masalah kepada setengah kalangan.

Apapun yang hendak dikatakan, kedudukan tasawwuf dan tariqah-tariqah tetap ada di Dunia Melayu, hanya ada beberapa masalah yang harus dicarikan penyelesaian, selain daripada masalah-masalah golongan-golongan yang tentu secara terang nyata sesat danb menyeleweng pegangan dan kepercayaannya, sebagaimana yang ditunjukkan antaranya dalamn teks seperti Tuhfatu’r-raghibin yang penuls ini cuba bentangkan sebahagian daripada isinya. Sebagaimana di bawah nanti.

Tentang wirid-wirid itu terserahlah kepada mereka yang mengambil bahagian dalam tariqah-tariqah yang muktabar, dengan kelainan-kelainannya dalam perkara-perkara detailnya; dalam soal akidah semuanya adalah mengikut aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Bagi mereka yang tidak terlibat dengan tariqah-tariqah mereka boleh mengintensifkan wirid dan zikir dengan mengamalkan apa yang diajarkan di kalangan ulama Nusantara, misalnya apa yang biasa diamalkan, sebagaimana yang disebut oleh Syaikh ‘Abdus-Samad al-Falimbani yang dinyatakan sebagai amalan yang diamalkan di Madinah dan disebarkan oleh Syaikh Ahmad al-Qasyasyi.

Pengawasan Daripada Unsur-Unsur Yang Menyeleweng:

Pada tahap ini penulis ingin memaparkan isi kandungan satu teks yang tidak tercatit nama pengarangnya, yang dikarang pada tahun 1188 Hijrah (sekitar tahun 1774), yang ada pada penulis ini ialah terbitan Sulaiman Mar’I Singapura-Pinang, tanpa tarikh. Ianya setebal 28 halaman dan mengandungi huraian tentang:

bullet

Fasal Pertama berkenaan dengan hakikat iman;

bullet

Fasal kedua berkenaan dengan perkara-perkara yan merosakkan iman;

bullet

Fasal ketiga berkenaan dengan syarat yang menimbulkan murtad dan hukum-hukum yang berkaitan;

Berkenaan dengan hakikat keimanan barangkali tidak sangat diperlukan untuk memaparkannya. Pada penulis ini yang perlu dipaparkan ialah fasal kedua dan ketiga, yang boleh dianggap sebagai aspek-aspek yang menyentuh pemurnian akidah dan oleh itu juga pegangan tasawwuf dan amalannya. Secara ringkasnya isinya ialah yang membinasakan iman, iaitu “riddah” atau kemurtadan iaitu:

  1. dengan perbuatan kufur

  2. perkataan kufur

  3. I’tiqad kufur. Dengan sengaja, bersenda-senda, atau bantahan.

  4. Perbuatan kufur: sujud kepada makhkuk dengan meletak dahi ke bumi

  5. menghampirkan diri kepada makhluk dengan menyembelih kambing umpamanya

  6. membuang Qur’an atau kitab syara’ di tempat najis

  7. membuangnya ke tempat yang keji seperti hingus

  8. membuang fatwa ilmu syara’ ke bumi

  9. membuangnya dan berkata: “fatwa ilmu apa ini?”

  10. dengan perkataan serta I’tiqad alam ini kadim atau roh kadim

  11. atau Allah baharu

  12. menafikan sifat Allah yang sabit dengan ijma’

  13. menafikan ilmuNya tentang juziyyat

  14. mengisbatkan sifat yang ditolak oleh ijma’

  15. mendustakan nabi

  16. mendustakan malaikat

  17. meringankan keduanya atau menyembah keduanya

  18. mendustakan satu ayat daripada ayat-ayat Qur’an yang ijma’ ulama sabitnya.

  19. menambahi satu kalimah dalam Qur’an

  20. meringan-ringankan nabi

  21. meringan-ringankan sunnah nabi (seperti memperlinya-p)

  22. menghalalkan yang haram dengan ijma’ seperti zina, liwat dan minum arak

  23. mengharamkan yang halal dengan ijma’ seperti berjual beli

  24. menafikan yang wajib pada syara’ seperti sembahyang dan puasa Ramadan

  25. mewajibkann yang tidak wajib dengan ijma’ seperti menambahkan sembahyang jadi enam

  26. mendakwa menjadi nabi

  27. membenarkan orang mengaku nabi

  28. menuduh Siti ‘Aisyah berzina

  29. mengatakan kafir kepada orang Islam tanpa ta’wil

  30. menghalalkan mengatakan kafir kepada orang Islam

  31. bercita-cita akan menjadi kafir, maka kafir waktu itu juga

  32. bercita-cita menjadi kafir dengan berlaku sesuatu

  33. syak adakah diri sendiri kafir atau tidak, maka jadi kafir waktu itu juga

  34. menyuruh orang islam masuk kafir

  35. mengisyaratkan kepada orang Islam supaya masuk kafir

  36. mengisyaratkan orang kafir yang hendak masuk Islam supaya ia kekal dalam kafir

  37. enggan mengajar kepada orang kafir yang hendak masuk islam

  38. meminta tangguh mengajar syahadah kepada orang yang hendak masuk Islam

  39. senda-sendakan nama Allah

  40. senda-sendakan suruhan atau tegahan Allah

  41. senda-sendakan janji Allah memberi pahala atau mengenakan seksa

  42. senda-sendakan nama Rasul

  43. berkata: “kalau Tuhan suruh atau Rasul suruh aku taat aku tidak akan lakukan”

  44. atau kata: “kalau nabi datang aku tidak akan menerimanya”

  45. berkata: “kalau Allah jadikan kiblat pihak ini aku tidak akan berhadap sembahyang kepadanya”

  46. kata: “kalau Tuhan jadikan si anuitu nabi aku tidak akan terima.”

  47. kata: “kalau aku sakit Tuhan suruh aku sembahyang Tuhan zalim”

  48. kalau orang teraniaya berkata: “aku teraniaya ini takdir. Orang yang menganiaya berkata: aku yang buat bukan dengan takdir”

  49. kata: “kalau seorang nabi atau malaikat naik saksi aku tidak terima”

  50. kata: “aku tidak tahu nabi itu manusiakah atau jin”

  51. kata: aku tak tahu apa iman itu, secara menghinakannya.

  52. mengecil-ngecil satu anggota nabi dengan menghinakannya

  53. mengecil-ngecilkan nama Allah

  54. berkata kepada orang yang berkata "la haula wa la quwwata illa billah", itu tidak boleh menolong daripada lapar!

  55. Orang yang berkata kepada orang yang bang, dusta engkau!

  56. mengucap bismillah waktu minum arak dan berzina

  57. berkata: aku tidak takutkan kiamat dengan meringan-ringankannya.

  58. Berkata: sepinggan makanan tertentu lebih baik daripada ilmu.

  59. Berkata kepada orang yang berkata: aku pertaruh hartaku kepada Allah dengan kata-kata: engkau pertaruhkan hartamu kepada pihak yang tidak boleh menyekat pencuri daripada mencuri hartamu.

  60. Berkata: hai Tuhanku, matkkan olehmu akan daku, kalau engkau mahu aku Islam atau kafir.

  61. Berkata, bila binasa harta dan anaknya, hai Tuhanku apa yang Engkau hendak buat denga harta dan anakku itu?

  62. Orang yang mengajar kanak-kanak mengaji Qur’an berkata: kaum Yahudi terlebih baik daripada islam pada membayar hak guru.

  63. kalau ada orang kafir masuk Islam yang diberi zakat, orang lain berkata: kalau aku masuk kafir kemudian Islam aku boleh dapat zakat.Orang itu jatuh kafir.

  64. Menafikan Abu Bakar itu sahabat nabi

  65. Kalau seseorang berkata kepadanya engkau bukan orang islam, ia pun berkata aku bukan Islam

  66. kalau orang menyerunya: Hai yahudi! Ia pun menjawab, jadi kafir .

  67. berkata: nabi kita hitam atau bukan Quraisy.

  68. Berkata: pangkat nabi boleh hasil dengan usaha.

  69. berkata: aku mendapat wahyu daripada Allah.

  70. Berkata: aku sudah masuk syurga, makan buah-buahannya dan peluk bidadarinya.

  71. tidak menganggap kafir orang yang selain daripada beragama Islam.

  72. syak pada mengkafirkan mereka seperti Yahudi misalnya.

  73. atau menganggap sah mazhab mereka seperti yahudi.

  74. mengatakan umat Muhammad sesat

  75. mengatakan Sahabat rasulullah kafir

  76. menafikan Qur’an ada mu’jizat yang melemahkan kuffar.

  77. mengatakan Mekah, Ka’bah, atau Masjidil Haram.

  78. Berkata: aku tidak tahu yang dikatakan Mekah itu Mekahkah atau tidak.

  79. Menafikan bahawa langi bumi menunjukkan dalil ada Allah.

  80. Berkata: adanya langit dan bumi tidak menunjukkan adanya Allah.

  81. menafikan bangkit manusia dari kubur.

  82. Ingkarkan syurga dan neraka atau hisab dan pahala juga azab.

  83. atau dibenarkan semuanya itu tetapi katanya itu bukan maksudnya yang sebenar.

  84. berkata: imam-imam itu lebih afdhal daripada nabi-nabi.

  85. menyerupakan orang jahat dengan zabaniyah atau Munkar Nakir secara menghinanya, jadi kafir.

  86. melebihkan wali atas nabi

  87. menyangka sifat rububiyah apabila zahir atas hamba terangkat taklif.

  88. mengaku melihat Allah dengan mata kepala dalam dunia.

  89. mengaku dirinya sama perkataan dengan Allah.

  90. berkata: Allah masuk dalam semua rupa yang baik-baik.

  91. Berkata: roh itu cahaya Allah, apabila berhubung yang cahaya berkata-kata keduanya.

  92. Beriktikad sifat dirinya dekat dengan sifat Allah.

  93. Beriktikad Allah memberi makan minum kepadanya tiada haram halal lagi.

  94. Mengaku sampai kepada Allah dengan jalan lain daripada ubudiyyah atau memperhambakan diri kepadaNya.

  95. mengaku dirinya sampai kepada maqam gugur hukum Syara’ baginya.

  96. Jadi bida’ah orang yang berkata: Allah telah mengilhamkan kepadanya pekerjaan agama Islam tidak berkehendak lagi ianya kepada ilmu dan ulama;

  97. kalau beri’tikad Allah ilhamkan kepedanya pekerjaan agama lain daripada Islam jadi kafir;

  98. atau ia sampai menjadi nabi jadi kafir;

  99. kalau dikata kepada seseorang: engkau padaku seperti yahudi pada penglihatan Allah

  100. atau membaca Qur’an sambil memalu rebana;

  101. atau dikata orang baginya: adakah engkau ketahi yang ghaib, jawabnya:ya, bertanya aku tahu akan dia;

  102. atau ia kembali daripada musafir bila mendengar burung ‘aq’aq

  103. atau dikatanya: aku ‘asyik akan Allah dan Allah ‘asyik akan aku, maka jadi bid’ah fasik; tentang kafirnya ada khilaf.

  104. kalau mencita-cita jangan diharamkan zina, membunuh dan anyiaya, jadi kafir.

  105. kalau mencita-cita tidak diharamkan minum arak dan berkahwin dengan saudara, tidak kafir.

  106. kalau dikatakan bagi isterinya: engkau terlebih aku kasih dearipada Allah, atau

  107. berkata: ia Nasrani terlebih baik daripada majusi, bersalahan ulama tentang kufurnya.

Kemudian disebut tentang hadith berkenaan dengan perpecahan umat kepada 73, satu sahaja yang selamat, dan mereka itu Ahlis-Sunnah wal-jamaah. (halaman 8-9).

Kemudian digesa supaya berpegang kepada Ahlis-Sunnah, jangan Qadariyyah, Jabariyyah, mazhab tasybih, dan ta’til, Khariji dan Rafidhi.Ini diikuti dengan huraian-huraian berkenaan dengan golongan-golongan Rafidhiyyah, Kharijiyyah, Jabariyyah, Qadariyyah, Jahmiyyah, dan Murji’ah. Kemudian ini disusuli dengan ciri-ciri golongan itu semuanya dan pegangan-pegangan mereka. Yang akan disebutkan ialah yang berkemungkinan menyentuh tasawwuf pada pegangann atau amalannya sahaja. Antaranya ialah:

Dalam golongan Rafidhah - yang dinyatakan ianya terdiri daripada duua belas golongan - antara akidah-akidah mereka yang banyak itu ialah:

  1. Saidina ‘Ali turun dari langit, keluar daripadanya awan Uluhiyah, lalu masuk kepada rupa manusia; lalu dikerjakannya beberapa kerja yang menunjukkan keTuhanan, lepas itu naik semula ke langit. Ini kufur.

  2. Setengahnya beriktikad: Saidina ‘Ali rd adalah nabi Allah, Jibril tersilap membawa wahyu kepada Nabi Muhammad saw. Ini kufur berdasarkan ayat Qur’an yang bermaksud Muhammad tidak lain melainkan Rasul.

  3. Setengahnya beriktikad: Saidina ‘Ali krw berkongsi dengan Nabi Muhammad s.a.w. dalam pangkat kenabian. Ini kufur.

  4. Setengahnya beriktikad: Khalifah itu ‘Ali, bukan yang lain-lain itu, dan bahawa Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman menjadi kafir bila menerima khilafah lain daripada ‘Ali.

  5. Mereka itu menyumpah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman, serta para Sahabat lainnya. Mereka lebihkan sahabat Ali mengatasi sahabata-sahabat lain.

  6. Setengahnya beriktikad: roh bila keluar daripada sesuatu badan masuk ia kepada lembaga lain. Ini kufur.

  7. Setengahnya beriktikad: Ali krw lagi akan kembali ke dunia dengan hidupnya dahulu daripada Kiamat serta menuntut balas atas sekelian seterunya , dan sekarang ini tempatnya di awan.Guruh dan kilat suara cemetinya.Ini iktikad kufur kerana menyalahi Qur’an, hadith dan ijma’ Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah.

  8. Setengahnya beriktikad: Allah terkadang zahir dengan rupa manusia, makan dinamai ia itu nabi dan imam, ialahn yang memanggil manusia kepada agama Islam yang betul. Kalau tidak demikian sesatlah makhluk.

  9. Setengahnya beriktikad: Allah Taala masuk kepada sesuatu dan ia bersatu (asl.”bersuatu”) dengan benda itu.Ini iktikad kufur.(Ini menyentuh golongan yang mengaku bersatu dengan Allah atau ittihad).

Berkenaan dengan golongan ini pengarang kitab ini menukilkan hadith yang bermaksud: "Akan ada pada akhir zaman kaum yang dinamakan Rafidhah yang membuang Islam, hendaklah kamu membunuh mereka, sesungguhnya mereka itu golongan syirik." (hlm. 9-10).

Berkenaan dengan kaum Kharijiah atau Khawarij:

Disebutkan mereka itu dua belas golongan.Antara akidah mereka:

  1. menjadi kafir orang yang melakukan dosa besar. Itu I’tikad kufur.

  2. pada mereka zakat tidak wajib;

  3. mereka menghimpunkan harta;

  4. kata mereka tidak harus memberi zakat kepada sesiapa kerana tidak diketahui kafir atau mukmin; itu semua I’tikad kafir.

  5. Setengahnya percaya Allah mengampunkan dosa syirik.Itu I’tikad kufur.

  6. Setengahnya percaya iman dengan yang ghaib itu batil; ini kufur.

  7. Setengahnya beri’tikad Allah tidak menghukumkan makhluk dengan suatu hukum. Ini kufur.

  8. Setengahnya percaya matahari, bulan dan bintang bukan makhluk Allah. Ini kufur.

  9. Setengah percaya semua wanita umpama perhumaan atau bunga-bungaan maka harus bersetubuh sebelum nikah. Ini kufur.

  10. kaum Kharijiah naik saksi bahawa Ali rd kafir.

  11. Mereka berkata: mereka tidak tahu mukmin atau kafir selain Abu Bakar dan ‘Umar. Ini kufur.

Kemudian dibicarakan golongan Jabariyyah. Dinyatakan mereka itu ada dua belas golongan.

  1. Mereka beriktikad: semua perbuatan hamba amalan kebajikan, iman dan taat, dan amal kejahatan seperti kufur dan maksiat dari Allah.

  2. Sekali-kali tiada usaha dan iktiar hamba; hamba tergagah pada semua perbuatannya. Seperti benang tergantung ditiup angin; maka semua perbuatan hamba adalah perbuatan Allah. Ini kufur.

  3. Mereka sifatkan Allah dengan melakukan kejahatan seperti zina dan lainnya.

  4. Iktikad mereka menggugurkan taklif dari hamba dan ini “(meng)ingkar(kan) akan beberapa ayat Qur’an dan ijma’ sekelian ulama betapa kiranya sah menafikan amal dan usaha daripada hamba” (hlm. 11).

  5. Setengahnya beriktikad: sekali-kali hamba tidak beroleh kebajikan daripada berbuat taat dan tidak beroleh kejahatan daripada maksiat. Kebajikan, kejahatan, taat dan maksiat adalah bagi Allah sahaja, dan ia putus asa daripada rahmat Allah. Ini kufur.

  6. Setengahnya beriktikad: tidak beroleh pahala dan seksa daripada berbuat kebajikan dan kejahatan. Ini kufur.

  7. Setengahnya beriktikad tafakur itu terutama daripada berbuat ibadat dengan mengambil dalil daripada hadith (yang bermaksud): Tafakur sesaat lebih baik daripada ibadat tujuh puluh tahun. Disangkanya ibadat itu ibadat fardhu. Itu kufur.

  8. Setengahnya beriktikad: sesiapa menyucikan dirinya dan hening daripada cemar hawa nafsu, dan ia ada ilmu, gugur daripadanya ibadat dan amal. Ini kufur.

  9. Setengahnya beriktikad: segala makhluk beroleh pahala sebab berbuat kebajikan tiada beroleh seksa dengan berbuat kejahatan; semua yang kafir dan yang melakukan maksiat diuzurkan, tiada disoal, kerana semua perbuatan hamba digagahi- ini iktikad kufur.

  10. Setengahnya beriktikad: Allah tiada menyeksa hambaNya, sebab kalau Ia menyeksa, maka ia zalim. Ini kufur.

  11. Setengahnya beriktikad: Allah menghidupkan mereka yang kafir dalam Neraka; kemudian dimatikan mereka, tiada hidup lagi. Itu kufur.

  12. Setengahnya beriktikad: Allah telah menjadikan segala sesuatu: selepas selesai, Ia istirehat. Tiap-tiap suatu zahir pada waktunya bukan dari Allah. Ini kufur.

  13. Setengahnya beriktikad: Tiap-tiap seorang yang ada terlintas khatir kebajikan atau kejahatan dalam hatinya, hendaklah ia lakukannya; itu daripada suruhan Allah.Ini kufur.

  14. Setengahnya beriktikad: bila seseorang hamba sampai kepada martabat kesudahan kasihnya kepada Tuhan, dan heninglah hatinya, dimunumnya minum kasih kepada Allah, gugur segala taklif Syara’ daripadanya, terangkat segala ibadat, ibadatnya hanya tafakur sahaja. Ini kufur.

  15. Setengahnya beriktikad: segala harta dunia ini dikongsi antara manusia sebab semuanya pesaka daripada Adam dan Hawwa. Sesiapa yang mengambil daripadanya itu haknya. Itu iktikad kufur.

  16. Setengahnya beriktikad: belajar ilmu jadilah seseorang itu syarik, bersekutu pada segala harta manusia; sesiapa yang menegahnya maka kafir. Ini iktikad kufur.

  17. Setengahnya beriktikad: tiada sesuatuyang difardhukan Allah atas hambaNya, jika dikehendaki diperbuatnya kalau tidak, tidak. Ini kufur.

  18. Setengahnya beriktikad: hamba tiada mukallaf lain daripada iman dan kufur. Ini kufur.

  19. Setengahnya beriktikad: Allah menyuruh berbuat ibadat, tidak diwajibkan mengulang-ulangkannya. Ini kufur.

  20. Setengahnya beriktikad: bahawa syak ia pada imannya; katanya membawaiman dan mengucap syahadat itu menjadi mukmin dan menghilangkan kufur. Ini kekufuran.

Kemudian diikuti dengan huraian tentang kaum Qadariyyah.

  1. Setengahnya beriktikad: Kudrat hamba yang baharu memberi kesan pada segala perbuatan hamba yang diikhtiarkan dengan sengaja; maka segala yang berlaku adalah hasil bekas kudrat yang diberikan Tuhan samaada ada perbuatan langsung atau yang timbul daripadanya (tawallud). Pada ulama Transoxiana ini kufur mutlak; pada jumhur ini kufur kalau diharuskan Allah lemah daripada menjadikan perbuatan.

  2. Setengahnya beriktikad: Syaitan tidak berdapat dengan Tuhan sebab tiada baginya wujud yang nyata. Ini kufur.

  3. Setengahnya beriktikad: untung baik dan jahat bukan daripada Allah, itu kufur.

  4. Setengahnya beriktikad: berbuat ibadat itu sia-sia kerana yang bahagia itu bahagia semenjak dari azali, dalam perut ibu, itu kufur.

  5. Setengahnya beriktikad: menafikan Sirat, Hisab, Mizan, dan Syurga dan Neraka belum dijadikan. Ini kufur.

  6. Setengahnya beriktikad: segala amalan itu daripada hamba jua tiada kita ketahui hamba akan mendapat pahala atau seksa. Itu kufur.

  7. Setengahnya beriktikad: Tuhan tidak menjadikan Syaitan kerana menjadikannya itu nyata menjadi kufur danmenghendakinya, itu kufur.

  8. Setengahnya beriktikad: Segala amalan itu makhluk Allah melainkan iman. Itu kufur.

  9. Setengah daripada mereka: menerima ibadat yang fardhu dan bencikan ibadat yang sunat.

  10. Setengahnya: menerima ibadat sunat dan bencikan yang fardhu.

  11. Mereka sembahyang zohor dan asar dua-dua rakaat. Itu semua kufur.

  12. Setengahnya beriktikad: segala kitab Allah yang diturunkan dari langit tiada mansukh maka wajib diamalkan apa yang ada di dalamnya. Ini kufur.

  13. Kaum Qadariyyah itu seperti Majusi, seperti hadith Nabi s.a.w. (yang bermaksud): “Apabila kamu lihat kaum Qadariyyah, maka kamu bunuh mereka, mereka itu majusi umat ini.”

Kemudian ini disusuli dengan golongan Jahmiyyah. Mereka itu dua belas golongan.

  1. Setengahnya beriktikad: Nama-Nama Allah Dan Sifat-SifatNya adalah makhluk. Ini kufur.

  2. Setengahnya beriktikad: Allah maujud pada tiap-tiap tempat dengan secara hulul dan ittihad. Ini kufur kerana mengisbatkan tempat bagi Allah dan berbilang-bilangNya.

  3. Setengahnya beriktikad: mukmin yang derhaka bila masuk Neraka tidak akan keluar daripadanya. Ini kufur.

  4. Setengahnya beriktikad: isi Neraka bila dibakar hingga menjadi abu, maka ia tidak hidup lagi. Ini kufur. (Disusuli dengann nas Qur’an).

  5. Setengahnya beriktikad: Mayat tidak merasai azab, hanya pada ketika sakratul maut sahaja, dan (tiada?) merasai azab kubur. Ini kufur.(Disebutkan menyalahi Qur’an dan hadith).

  6. Setengahnya beriktikad: Allah taala berdiri antara langit dan bumi.

  7. dan lagi katanya Nabi kita melihat Tuhan dalam dunia, kitapun melihat Tuhan dalam dunia.Sekelian itu kufur.(menyalahi nasQur’an, hadith dan ijma’).

Ini disusuli dengan menyebut kaum Murji’ah. Mereka itu ada dua belas golongan.

  1. Antaranya beriktikad: selepas daripada membawa iman tidak ada sesuatu yang diwajibkan Allah. Ini iktikad kufur.

  2. Setengahnya beriktikad: Allah jua yang menjadikan sekelian makhluk; tetapi Ia tidakmenyuruk melakukan kebajikan dan melarang kejahatan. Ini iktikad kufur. (Dinyatakan dalil ayat Qur’an yang menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan).

  3. Setengahnya beriktikad: barangsiapa mengucap “la ilaha illah’ Llah” maka berbuat taat atau maksiat sama sahaja.

  4. Setengahnya beriktikad: Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan beriman kepadaNya sekali-kali tidak tersurat atasnya dosa besar. Ini kekufuran. (menyalahi nas Qur’an, hadith dan ijma’).

  5. Setengahnya beriktikad: dan beramal dengan menyembah matahari dan bulan serta bintang. Ini kekufuran.

  6. Setengahnya beriktikad: Allah taala jauhar atau ‘arad (iaitu zat benda atau sifat yang ada pada benda). Ini kekufuran.(disebut ayat Qur’an yang bermaksud Allah tidak ada menyamai sesuatu).

  7. Setengahnya beriktikad: Iman itu ilmu, sesiapa yang tiada ilmu ia kafir.

  8. Juga katanya: sesiapa yang tiada mengetahui suruh dan tegah, ia kafir. Iktikad demikian kufur. (disebutkan kerana menyangkali tasdiq dan dipadakan dengan ilmu sahaja).

  9. Setengahnya beriktikad: Iman itu tiap-tiap tahun berkurang, tiadak bertambah. Ini kekufuran. (disebut ayat Qur’an yang bermaksud: orang-orang yang beriman itu bertambah imannya).

  10. Setengahnya beriktikad: dan katanya (bermaksud) “Aku mukmin insha’ Allah”. Itu kufur kalau ia syak tentang imannya. Kalau tidak syak disebut untuk mengambil berkat dengan nama Allah, tidak jadi kafir.

  11. Setengahnya beriktikad: Allah serupa dengan Nabi Adam berdasarkan hadith mutasyabihat bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan Adam atas rupa Tuhan Yang Rahman“. Iktikad itu kufur. (Disebut ayat Qur’an bermaksud tiada sesuatu yang menyerupai Tuhan).

  12. Setengahnya beriktikad: segala yang wajib dan sunat sama sahajakerana titah Allah;

  13. dan lagi setengahnya beriktikad: Allah tidak melihat dan mendengar, ini kufur. (Disebut ayat Qur’an yang menyebut Allah mendengar dan melihat).

  14. Setengahnya beriktikad: Kita mengikut Syaitan sama ada mukmin atau kafir, kalau ia menyuruh makan yang haram sekalipun. Ini kufur.

Dikatakan bahawa kaum Murjiah itu dimurkai Allah, dan disebut dalam hadith nabi saw bahawa mereka itu dilaknati oleh tujuh puluh anbiya.

Selepas menyebut kaum yang tujuh puluh dua itu, penulis ini memberi pesanan: ”(Sayugianya) kau ketahui akan dia (yaitu 72 golongan sesat itu) supaya kau jauhi akan dia (dan)jangan sekali-kali kau iktikad akan dia …” (hlm14).

Lepas itu penulis menyatakan:

“(Apabila kau ketahuilah) segala iktikad dan mazhab yang sesat yang telah tersebut itu, sekarang (maka ku nyatakan) pula iktikad kaum mulhid yang bersaufi dirinya seperti yang telah dinyatakan Imam Ghazali (dan Syaikh Abun-Najib Suhrawardi) (dan) Imam Najmu’d-Din ‘Umar al-Nasafi dan lainnya …” (hlm. 14). Kemudian diteruskan kenyataan:

Adapun kaum yang bersaufi-saufi diinya itu amat sesat mereka itu tiada patut dinamaiakan dia dengan nama saufi, hanya terutama dinamai akan dia dengan kafir atau fasiq. (Kata ulama) adalah banyak mereka itu tiga belas kaum.

"(Pertama) kaum Murji’ah namanya (kedua) kaum auliya’iyyah namanya (ketiga) kaum sikhr akhih namanya, (keempat) kaum ibahiyyah namanya, (kelima) kaum haliyah namanya, (keenam) kaum hauriyah namanya, (ketujuh) kaum waqi’iyyah namanya,(kedelapan) kaum mutajahiliyah namanya, (kesembilan) kaum mutakasiliyah namanya (kesepuluh) kaum ilhamiyah namanya, (kesebelas) kaum hululiyah namanya, (kedua belas) kaum wujudiyah namanya (ketiga bela) kaum mujassimah namanya." (hlm. 15).

Ini disusuli dengan kenyataan tentang akidah golongan yang tiga belas itu, yang dikatakan mereka yang bersufi-sufi dirinya.

  1. kaum Murji’ah, iktikadnya: seorang hamba bila sampai kepada martabat kasih kepada Allah, tiada dikasihinya selain daripada Allah, terangkat daripadanya taklif Syara’ dan segala ibadat, yang haram itu halal baginya.

  2. Mereka menyatakan: segala fardhu seperti sembahyang dan puasa dan sebagainya harus dikerjakan dan harus ditinggalkan.

  3. Setengahnya tidak menutup auratnya. Iktikad dan pekerjaan demikian semata-mata kufur dan dhalalah. (hlm. 15).

  4. Setengahnya beriktikad: seseorang hamba bila sampai kepada kesudahan martabatnya, kasihkan Allah, gugur daripadanya segala ibadat yang zahir, ibadatnya tafakur sahaja. Itu kufur.

  5. Setengahnya beriktikad: seseorang hamba bila sampai kepada kesudahan martabat kasih kepada Allah harus baginya segala perempuan dan sahaya orang. Itu kufur.

  6. Setengahnya beriktikad: harta dunia ini harus bagi anak Adam, kerana Adam bapa sekelian maniusia, dan Siti Hawwa ibu mereka semua. Maka segala harta milik mereka berdua, maka bersyarikat dalam harta itu semua anak cucunya. Semua itu kufur dan kesesatan.

Kaum Auliya’iyah:

  1. Mereka beriktikad: seorang hamba bila sampai kepada darjah kewalian terangkat daripadanya suruh dan tegah Syara’.

  2. Mereka beiktikad: wali itu lebih afdhal daripada nabi. Itu semua kufur dan dhalalah.

Kaum Sihir akhih:

  1. Mereka beriktikad: bila seorang hamba itu lamalah kasih kepada Allah terangkat daripadanya suruh dan tegah Syara’.

  2. Mereka mengharuskan bernyanyi dan memalu rebana dan bangsi dan muri rebab dan kecapi dan lainnya;

  3. dan mereka haruskan zina dan menyabung , maka mereka disebut sebagai golongan Sihr akhih kerana mengikut Abdullah sihir akhih.Pada zahir mereka bersoleh-soleh diri pada hal mereka itu semata-mata fasik. Iktikad demikian kufur dan dhalalah.

Kaum Ibahiyah:

1. Mereka beriktikad antaranya: pekerjaannya meninggalkan amar makuf dan nahi munkar;

2. kata mereka: kami tiada kuasa menahani diri untuk menjalankan amar dan nahi.Maka bagaimanakah kami menyuruh orang meakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?

3. Mereka mengharuskan zina. Mereka sejahat-jahat makhluk, dan iktikadnya kufur dan dhalalah.

Kaum Haliyah:

Antara iktikad mereka: dikatakan mereka harus menari dan bertepuk tangan tatkala menyanyi, lagi pengsan; kata segala muridnya bahawa syaikh mereka itu dalam hal itu bersalahan dengan perjalanan Rasul; itu bidah lagi dhalalah.

Kaum Hurriyah:

1. Iktikad mereka seperti setengah kaum haliah.

2. Kata mereka: datang kepada kami bila kami pengsan anak bidadari maka kami bersetubuh dengan mereka. Apabila sedar daripada pengsan mereka mandi junub. Iktikad ini kufur lagi dhalalah.

Kaum Waqiiyah:

Mereka meninggalkan marifat terhadap Allah kata mereka hak Allah tiada dikenal akan dia, hamba itu lemah daripada mengenalNya. Iktikad itu kufur. Disebutkan ini berlawanan dengan beberapa nas Quran dan Sunnah

Kaum Mutajahiliyah:

1. Mereka memakai pakaian dan mengerjakan amalan fasik.

2. Kata mereka: tiada dapat kami menjauhi diri daripada zina. Ini dhalalah.

Kaum Mutakasiliyah:

1. Mereka meninggalkan berbuat usaha dan ikhtiar.

2. Mereka pergi memintan sedekah pada tiap-tiap rumah dan kedai orang untuk mendapat makanan.

3. Mereka mengambil zakat dan sedekah daripada orang ramai.

Ini cara hidup bidah bersalahan dengan amalan nabi s.a.w.

Kaum Ilhamiyah:

1. Iktikad mereka seperti iktikad Dahriyah (iaitu tidak percaya kepada adanya Tuhan)

2. Mereka engganmembaca Qur’an dan belajar ilmu; kata mereka; Quran itu suatu hijab kepada Allah.

3. Mereka ikut kata-kata hukama

4. Syair hukama dijadikan tariqat mereka

5. Umur mereka habis dengan bersyair.

Itu semua bidah dhalalah.

Kaum Hululiyah:

1. Setengahnya beriktikad: wujud Allah masuk kepada diri mereka dan segala jisim. Ini kufur seperti iktikad Nasrani.

2. Setengahnya beriktikad: harus memandang kepada wanita cantik dan kepada muda belia.

3. Mereka menari dan berseloka katanya elok paras sesuatu itu daripada suatu Sifat Allah yang turun kepada makhlukNya, maka seharusnya kamu cium dan berdakap (dengan wanita misalnya).

Ini semua kufur dan dhalalah.

Kata Syaikh Abun-Najib dalam Awariful-Maarif: Adalah setengah daripada kaum Hululiyah itu bernama Qalandariyah, mereka itu mengharuskan semua pekerjaan.katanya: Apabila kamu suci daripada hawa nafsu lagi ikhlas kepada Allah, itulah kesudahan segala yang dimaksudkan. Adapun amalan Syariat, itu martabat sekelian orang awam sahaja yang kurang darjahnya, dan itu turut-turutan sahaj.

Itu sekeliannya kufur, mulhid, lagi zindik. Sepatutnya dibunuh kalau ia tidak bertaubat. (hlm. 16).

Golongan batini:

1. Kata Imam Qurtubi: setengah daripada kafir zindik Batiniah (asl.batini) menyangka amal Syariat yang zahir seperti sembahyang, puasa, dan zakat serta haji hanya diwajibkan atas orang awam sahaja tidak atas orang khawwas. Orang yang khawas (ahli marifat) tidak wajib atas mereka, meeka hanya dikehendaki hadhir dalam hati mereka ibadat itu. Ulama menyatakan bahawa ini iktikad zindik dan kufur.

2. Orang yang demikian hendaklah dibunuh kerana ingkar barang yang diketahui daripada Syariat sebagai hukum Allah terdir daripada suruh dan tegahnya, kerana hasil pengetahuan demikian secara putus, yakin dan tetap, disepakati oleh semua ulama yang awal dan yang kemudian. Sesiapa yang sangka hukum itu boleh diketahui secara lain daripada suruh dan tegah Allah, maka ia kafir kerana sangkaannya dicapai martabat nubuwwah.

3. Imam Ghazali rd menyatakan kalau ada wali yang menyangka ia ada mempunyai kedudukan di sisi Allah yang menyebabkan gugur wajib sembahyang dan halal minum arak, seperti kaum yang bersufi-sufi dirinya, tidak syak bahawa wajib ia dibunuh kerana murtad. (hlm. 16). Membunuh seorang daripada yang demikian lebih afdhal daripada membunuh seratus kafir asli (yang bermusuh dengan Islam).

Kaum Wujudiyah:

1. Iktikad dan katanya: La ilaha illaLlah yaitu tiada wujudku hanya wujud Allah, yakni bahawa aku wujud Allah.

2. Kata mereka: maksudnya: Hak Allah Taala tiada maujud melainkan dalam kandungan segala makhluk; pada iktikad mereka sekelian makhluk wujud Allah taala dan wujud Allah taala wujud sekelian makhluk; mereka mengisbatkan keesaan Allah taala dalam wujud sekelian makhluk yang banyak;

3. lagi kata mereka: kami dengan Allah sebangsa dan wujud yang satu.

4. Lagi kata mereka: Allah diketahui zatnya dan nyata kaifiatNya daripada ada Ia maujud pada kharij dan pada zaman dan makan atau tempat. Sekelian itu kufur. Inilah wujudiyah yang mulhid. Dinamakan dia zindik. (hlm. 17).

5. Wujudiah ada dua kaum: wujudiyah yang muwahhid dan kedua wujudiyah yang mulhid. Wujudiyah yang muwahhid iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya.

Kaum Mujassimah:

  1. Setengahnya beriktikad: Allah itu jauhar yang maujud.

  2. Kata setengahnya: Allah itu jisim tetapi tidak seperti jisim yang lainnya.

  3. Setengahnya berikikad: Allah berupa seperti rupa manusia.

  4. Setengahnya beriktikad: Allah taala ada daging darah, ada muka, tangan, jari dan kaki.

  5. Setengahnya beriktikad: Allah ada rupa tetapi tidak diketahui bagaimana rupaNya.

  6. Setengahnya beriktikad: Allah datang, turun, naik, bergerak dan berpindah.

  7. Setengahnya beriktikad: Allah duduk atas Arasy.

  8. Setengahnya beriktikad: Allah masuk pada Arasy, dan Arasy tempat kediamanNya. Kata Imam fakhrud-Din al-Razi kaum yan memahami ayat mutrasyabihat secara zahir lafaz demikian menjadi kafir kerana disabitkan bagi Allah jisim dan jisim itu disembahnya.

  9. Kata Imam Ahmad: sesiapa yang mentasybihkan Allah dengan makhluk menjadi kafir.

Ini diikuti dengan larangan mengikut kaum yang bidah dengan dibawa beberapa maksud hadith. Kemudian dibahagikan bidah itu kepada pembahagian mengikut hukum yang lima mengikut huraian Syaikh Izzuddin Ibn Abdus-Salam. Juga diikuti dengan contoh-contoh bidah. Kemudian dibicarakan juga masalah-masalah berhubungan dengan jin dan hukum tentang murtad dan taubat serta jenis-jenis dposa anak Adam.(hlm 19-28).

Kepentingan Ajaran dan Amalannya:

Antaranya boleh dilihat dalam beberapa aspek seperti di bawah ini:

  1. Kepentingannya dalam memberi mesej kerohanian kepada manusia zaman ini yang terlalu kebendaan.

  2. Kepentingan dalam mendedahkan nilai-nilai bagi membentuk peribadi berdasarkan nilai-nilai yang unggul untukmenguatkannya supaya teguh dalam zaman penuh pancaroba ini.

  3. Kepentingan dalam memberi dimensi kerohanian dalam memahami peribadi manusia yang biasa difahami hanya dari segi psikologi yang cetek mengikut teori-teori moden yang mampu menyelam hanya aspek-aspek yang tidak mendalam pada kejiwaan manusia yang tidak mampu melintasi tahap nafs ammarah sahaja.

  4. Kepentingannya dalam memberi contoh tauladanyang memberangsangkan dalam hubungan dengan peribadi-peribadi unggul dalam sejarah kerohanian, yang kalau tidak tidak akan ada contoh-contoh yang demikian.

  5. Kepentingannya dalam memberi kaedah-kaedah amalan yang boleh mendatangkan kesan bagi membawa kepada perubahan jiwa yang sejahtera dan selamat, yang tanpa amalan-amalan dan cara-cara yang diakui itu maka jiwa manusia akan berada pada tahap yang merosakkan.

  6. Kepentingan secara amali untuk mengajar kepada manusia persaudaraan yang benar-benar berdasarkan kepada kesedaran rohaniah semata-mata tanpa laoin-lain pertimbangan dalam hubungan antara sesama manusia.hanya ilmu dan amalan tasawwiuf yang mengajar perkara yang demikian ini.

  7. Kepentingannya dalam perkembangan budaya dan tamadun manusia yang memberi aspek kerohanian yang dalam sejarah boleh dilihat memberi kesan yang positif atas pemikiran dan amalan manusia serta kesan-kesan atas kesenian dengan cawangan-cawangannya.

  8. Sudah tentu ajaran inilah yang mengajar manusia mencapai hubungan yang mesra dan berkesan dengan Tuhan serta mencapai keimanan yang selamat dan berkesan dalam hidup seseorang yang mempunyai nilaian yang mengatasi segalanya.

  9. Sebagai aspek batin dari Islam, ianya menjamin kekuatan amalan islam dan kejayaan serta keberkesanannya sebagaimana air hayat yang ada pada pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang menjamin kesegaran dan hayatnya walaupun ianya tidak kelihatan pada lahirnya sebab ianya berupa aspek dalamannya.

Antara Perkara-Perkara Yang Perlu Diselesaikan:

bullet

Antaranya sikap memandangnya sebagai bidah dhalalah yang menimbulkan masalah palsu dalam masyarakat, dengan mengambil kira keperluan menyelesaikan masalah mereka yang benar-benar sesat sebagaimana yang ada dalam teks-teks Ahlis-Sunnah yang muktabar. Ini perlu diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat bahawa ilmu tasawwuf diterima sebagai satu daripada ilmu-ilmu yang diakui seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun dalam “al-Muqaddimah”, atau oleh Imam al-Ghazali dalam “Ihya’ ‘Ulumiddin” atau ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam “al-Farq bainal-Firaq” dan ahlinya diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah.

bullet

Masalah penentangan terhadap setengah-setengah Sufi seperti Ibn Arabi dan Imam al-Ghazali dan lainnya atas dasar mereka menggunakan hadith-hadith yang dipertikaikan oleh setengah pihak. Ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada pendirian ulama hadith tentang bolehnya hadith-hadith dhaif disebut dalam hubungan dengan fadhilat amalan-amalan dan tidak dalam hubungan dengan hukum haram halal. Misalnya ini dinyatakan oleh Imam Nawawi rd dalam” al-Azkar”nya.

bullet

Masalah penentangan terhadap apa yang disebut sebagai wahdatul-wujud yang sahih tanpa membezakannya dengan ajaran zindik yang ditentang oleh teks-teks Ahlis-Sunnah sendiri. Ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat ada wahdatul-wujud yang zindik dan ada yang muwahhid, sebagaimana yang disebut dalam “Nahj al-Raghibin” yang tersebut di atas selain daripada punca-punca lainnya; juga dengan merujuk kepada hakikat bahawa itu bukan dimasukkan dalam bahagian akidah tetapi pengalaman kerohanian para arifin; dan sebagaimana yang disebut oleh Ibn Khaldun pengalaman mereka itu sahih.

bullet

Masalah penentangan terhadap tasawwuf kerana dipandangnya sebagai ajaran dan amalan yang melemahkan pembangunan negara dan umat kerana kononnya pengajaran membenci dunia dan zuhud. Ini boleh diatasi dengan merujuk kepada hakikat tasawwuf yang mengajarkan hubungan manusia dengan Tuhan yang semurni-murninya, dan sikap mengambil dunia sebagai wasilah untuk kebajikan dan menuju kepada Tuhan, dan bukannya melemahkan umat, bahkan sikap ini menguatkann umat, sebagaimana yang terbukti pada zaman awal Islam. Zuhud itu nisbah bagi diri, adapun kegiatan yang menguatkan umat, itu fardhu kifayah yang mesti dilaksanakan.

bullet

masalah penentangan terhadap metafisika sufi yang dianggap bidah oleh itu mesti dihapuskan. Ini mungkin diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat perkembangan tamadun yang menimbukan sistematisasi semua ilmu-ilmu dengan sistem peristilahannya yang tidak boleh dielak seperti adanya perkembangan dalam ilmu fiqh, usuluddin, tasawwuf, usul fiqh dan seterusnya yang tidak berlaku pada zaman nabi saw, tetapi perkembangan ilmu-ilmu itu diterima dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, bahkan ilmu-ilmu itulah yang menjayakan ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

bullet

Masalah penentangan terhadap wirid dan zikir beramai-ramai yang dianggap oleh setengah pihak sebagai bidah. Masalah wirid dan zikir beramai-ramai itu sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Suyuti rh dalam kitabnya al-Hawi lil-Fatawi ianya dilaksanakan semenjak zaman nabi saw lagi, dan beliau menukilkan lebih kurang dua puluh hadith yang sahih berhubungan dengan perkara ini.

bullet

masalah kesesatan yang memang ada dalam masyarakat hasil daripada ajaran rohaniah palsu yang berkembang kerana adanya orang-orang yang mencari kepentingan daripada kehausan rohaniah yang ada pada manusia sekarang sampai menyebabkan timbulnya orang-orang yang pandai-pandai dalam masyarakat menjadi mangsa gerakan sedemikian.

Wallahu alam.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nota-nota hujung:

(1) hadith Imam Muslim, sahih, riwayat Umar bin al-Khattab.

(2) al-Intisar liTariq as-Sufiyyah, hlm.6, karangan ahli hadith Muhammad Siddiq al-Ghumari.Dinukil dalam haqaiq an at-tasawwuf, oleh Syaikh Abdul Qadir Isa, Dewan Press, Norwich, 1970, hlm 22-23.

(3) Imam Muslim.Riwayat Umar rd.

(4) Muqaddimah Ibn Khaldun, 329.

(5) Tr Arberry, l966, Lahore, hlm 3.

(6) Ibid.hlm.4

(7) al-Intisar li Tariq as-Sufiyyah, hlm 17-18.

(8) al-Muqaddimah.

(9) 1971 di Clarendon Press, Oxford, 1971. Hlm 21.

(10) Ibid.

(11) Penerbitan Mizan Bandung, 1995.

(12) Pusat Penyelidikan & Penyebaran Khazanah Islam Klasik dan Moden Dunia Melayu, K.L. 2000.

(13) JMRAS-n0.178-jld XXX.pt 2,Ogos, 1957.

(14) Sh.Muhammad Ashraf, Lahore, l965.

(15) M.V.Bruinessen dlm sumber tersebut, hlm 188.

(16) Trimingham, sumber telah tersebut.

(17) Ph. S.van Ronkel, Account of Six Malay Manuscipts…”Bidragen Tot de Taal,2(1896)1-53.Lih.M.Van Bruinsses, sumber sama.189-190.

(18) sama.

(19) sama.hlm.191.

(20) istilah M.Van Bruinessen, sama, hlm 192.

(21) Diulas oleh Ahmad Daudy dalam Allah Dn Manusia Dalam Konsepsi al-Raniry, Jakarta.

(22) D.A.Rinkes, Abdoerraoef Singkel, Bidrahgen tot de Kennis van de Mystick op Sumatra en Java,dissetasi, Leiden, 1909-Lihat Bruinessen.sama.193.

(23) sama dengan menyebut pendapat Snoucke Hurgronje dlm jld II Mekkanya(The hague, 1889) sebagai punca terbaik tentang hidup sosial dan intelektuil Jawah di Mekah.

1 comment:

Ateef said...

salam..info yg menarik..http://madulebah.fotopages.com