Friday, August 24, 2007

RAHSIA-RAHSIA PEMBINAAN PERIBADI DALAM SASTERA IQBAL

OLEH

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Almarhum Muhammad Iqbal rh sebagai penyaer Muslim terunggul di abad ke 20 ini (kita belum tahu tentang perkembangan yang akan berlaku dalam alaf ini) merupakan pemikir dan pemberi amanat tentang kehidupan dan dasar-dasarnya yang perlu diingati kembali relevannya dalam menghadapi alaf ini. Apa lagi dalam menghadapi cabaran globalisasi dan aliran pasca-modenisme yang menafikan kisah-kisah agung dan nilai-nilai universal yang unggul. Persajakan beliau tentang pembentukan peribadi berupa mesej yang trerlalu amat relevan bahkan diperlukan secara darurat dari segi intellektuil dan keseniannya.

Nota ringkas ini akan berbicara berkenaan dengan rahsia-rahsia pembinaan peribadi yang dituangkan dengan indahnya dalam persajakannya. Ianya menjadi tajuk utama sajaknya yang terkenal “Asrar-I-Khudi” atau “Rahsia-rahsia Peribadi” yang diterjemahkan dan dihuraikan oleh Bahrum Rangkuti dengan baiknya dalam tahun 50an lalu. Dalam Bahasa Inggeris ianya diusahakan terjemahannya oleh R. A. Nicholson, bertajuk “The Secrets of the Self”. (edisi 1955, Lahore).

Sewaktu beliau berada di Barat Iqbal mempelajari falsafah moden yang hasilnya ialah beliau memegang ijazah dari Universiti Cambridge and Munich. Disertasinya berjudul “The Development of Metaphysics of Persia” diterbitkan tahun 1908. Semenjak itu ia mempunyai falsafah hidupnya sendiri.

Huraian sastera dan pemikiran Iqbal mengambil ruang lingkup yang sangat luas dengan huraian metafisika dan falsafah dalam The Reconstruction of Religious Thought in Islam” nya, “The Development of Metaphysics in Persia”, dengan masalah seni sastera danb rahasia kehidupan dan masyarakat serta dan budaya dalam “Asrar-I-Khudi”, “Rumuz-I-Bekhudi”, “Javid Namah”, “Nala-I-Yatim”, “Syikwa wa Jawabi-Syikwa”, “Zabur-I-Ajam”, dan banyak lagi dengan sajak-sajaknya dalam bahasa Urdu kemudian dalam bahasa Parsi dan karya prosanya dalam Bahasa Inggeris.

Mesej Iqbal dalam “Asrar-I-Khudi” yang akan dibicarakan ini bukannya untuk Muslimin dibenua kecil Indo-Pakistan sahaja, - Pakistan bermula sebagai ide untuk negara Muslimin dari pemikirannya - bahkan ianya untuk Muslim di mana mereka berada. Ianya mesej universal untuk mereka, termasuk untuk kita di Dunia Melayu abad ini.

Iqbal muncul bukannya untuk zamannya sahaja, tetapi katanya “Aku tidak memerlukan telinga Hari ini; Aku adalah suara penyaer Hari Esok” dan ia meminta Saqi atau penuang anggur memenuhkan pialanya - bahasa tamsil yang terkenal dari sastera sufi—dan memenuhkan sinaran bulan ke dalam kegelapan permikirannya;

Supaya aku boleh memandu pulang pengembara itu

Dan memberansangkan para penyaksi nan malas itu dengan keghairahan yang menggelisahkan

Dan mara dengan kerasnya untuk mendapat penemuan baru

Dan menjadi terkenal sebagai johan satu semangat baru

(Dari Nicholson, “The Secrets of the Self”).

Sebagaimana yang disarankan oleh penterjemahnya yang terkenal itu iaitu Nicholson, kita boleh bermula dengan matlamatnya yang menjadi arah tujuan pemikirannya.

Selepas daripada memahami Quran, Sunnah, dan punca-punca ilmu-ilmu Islam dan sejarah serta budayanya, beliau mendalami falsafah Barat dan sasteranya; nampaknya dari tulisan-tulisannya beliau terpengaruh dengan Nietzsche, Bergson, dan dari segi persajakannya beliau nampaknya mengingatkan kita kepada penyaer-penyaer Romantik seperti Shelley.walau apa pun yang boleh dikatakan tentang unsur-unsur pengaruh yang ada padanya beliau berfikir dan berperasaan seperti Muslim tulin. Inilah kehebatan peribadi insan yang berakal dan berjiwa tinggi tidak larut keperibadiannya dalam ia mendalami alam intellektuil dan budaya lain.

Beliau menggarap falsafahnya tentang pembentukan diri dalam “Asrar-I-Khudi” dan falsafahnya tentang pembinaan masyarakat pula dalam “Rumuz-e-Bekhudi” iaitu “Rahsia-rahsia Sikap Tidak mementingkan Diri” dalam Bahasa Inggerisnya “The Mysteries of Selflessness”.

“Asrar-I-Khudi” digubahkan mengikut bait yang digunakan dalam Kitab “Masnawi Ma’nawi” karangan Jalaluddin Rumi yang terkenal itu. Dalam bahagian awalnya beliau menyatakan bagaimana Jalaluddin Rumi, yang kepada beliau adalah seperti hubungan Virgil dengan Dante penyaer Itali terkenal itu, muncul dalam pemandangan rohaniah, dan memintanya supaya bangun dan berlagu.

Falsafahnya

Iqbal menyatakan dalam notanya kepada Nicholson asas falsafah “Asrar-I-Khudi” itu ialah seperti berikut. Pengelaman berlaku pada pusat-pusatnya yang terhad dan tertentu dan ianya bersifat “ini”, “begini”. Ini datang dari Prof. Bradley. Bermula dengan pusat-pusat pengelaman yang tidak boleh dihuraikan lagi permasalahannya, ia berakhir dengan Zat Yang Mutlak, yang di dalam yang mutlak itu pusat yang tertentu dan terhad itu hilang keadaan terhad dan terbatasnya. Maka pada beloiau pusat yang terhad dan tertentu itu hanya rupa lahir. Ujian tentang realiti itu ialah sifat merangkumi segala. Dari sini Iqbal mara lagi dan menyatakan bahawa seluruh kehidupan adalah individu; Tuhan Sendiri adalah sebagai Individu (tapi bukan seperti makhluk-penulis) Ia Individu Yang Paling Unik, tanpa tara. Secara ringkasnya, dari situ Iqbal mara lagi dalam huraiannya dan menyatakan bahawa ideal insan dari segi moral dan keagamaannya ialah bukan penafian diri (self-negation) tetapi penegasan diri (self-affirmation).

Seseorang individu itu menjadi lebih sempurna dirinya dengan menjadikan dirinya semakin unik, dengan menrealisasikan dalam dirinya sifat-sifat yang diambil pengajarannya daripada sifat-sifat Tuhan. Dalam hubungan dengan ini Iqbal menukil hadith nabi saw yang bermaksud “Celupilah dirimu dengan sifat-sifat (yang diambil pengajarannya daripada Sifat-Sifat) Tuhan”. Maka semakin hampir manusia kepada sifat-sifat yang sempurna yanmg diambil pengajarannya daripada sifat-sifat Tuhan semakin hampirlah ia kepada Tuhan. Semakin jauh ianya daripada sifat-sifat yang semprrna demikian semakin jauh ianya daripada Tuhan. Orang yang paling hampir kepada Tuhan itulah orang yang paling sempurna.

Beliau bersinandung tentang diri ini,

“Titik berpancar kemilau yang namanya peribadi ialah nyala hidup di bawah debu kita oleh ‘isyq peribadi kian abadi lebih hidup, lebih menyala dan lebih kemilau Dari ‘isyq menjelmalah pancaran wujudnya dan perkembangan kemungkinan tak diketahui semula Fitrahnya mengumpul api dari cinta ‘isyq mengajarnya menerangi dunia semesta ‘isyq tak takut kepada pedang dan pisau ‘isyq tidak berasal dari air dan bumi ‘isyq menjadikan perang dan damai di dunia Sumber hidup ialah kilau pedang cinta Tebing batu yang paling keras gementar oleh tinjauan cinta Cinta Ilahi akhirnya mewujudkan Tuhan (dalam kesedaran si mu’min) Belajarlah bercinta dan berusaha supaya kau dicintai”

Yang dimaksudkan cinta di sini ialah - ‘isyq-o-mahabbat’ - bukanlah ianya yang ada dalam pengertian biasa tetapi ketaatan yang sehabis mesra kepada Tuhan sehingga sifat-sifat sempurna wujud dalam diri dan masyarakat.

Dalam syairnya yang sangat terkenal, “Masjid Qurtubah” ia berlagu tentang cinta dalam pengertian yang luas, selain daripada rujukannya kepada faktor pembinaan peribadi:

“Namun dalam alamat ini ada) se(suatu yang kekal, hidup abadi Diukir oleh insan penaka Tuhan menjadi juita sempurna Seorang peribadi ulung memancarkan ciptaannya dengan sinar cinta Cinta asal kehidupan dan haram baginya kematian Cinta menyingkirkan banjir datang melandai Sebab cinta ialah air pasang mengalun tundukkan topan dan badai Dilembaran penanggalan cinta jauh dari jam mengalir kini Berdirilah abad yang lain, abad belum bernama Cinta nafas Jibril, Cinta hati al-Mustafa Cinta utusan Ilahi, cinta kalam Tuhan Oleh kemilau cinta marak menyala tanah lempung ini Cinta anggur hampir matang, cinta piala bagi sang budiman Cinta hamba beribadat, cinta panglima pasukan Cinta ibnu sabil tiada terkira tempatnya singgah Cinta jari pemetik lagu kehidupan kau Masjid Qurtubah menjelma oleh sinar cinta Berpantang mati dalam seluruh wujudmu, ajaib bagi dulu dan kini … ”

Muslim yang beroleh cinta sejati digambarkan oleh beliau dalam syair yang sama; beliau bersenandung:

Di sini dalam batumu kemilau terpendam rahsia orang mumin

Nyala api hari gemilangf, pesona malam berpendar

Di sini menjelma martabat Muslim tinggi, di sini nyata citanya luhur

Asyik, giat dan ghairah menyala, tunduk tadharru bagi Ilahi Rabbi

Namun megah selalu

Penaka tangan Tuhan, tangan orang yang beriman

Sakti dituntun seni, kuat mencipta dan menata negara

Dibentuk dari debu dan cahaya, khadim bagi roh Tuhan

Tak peduli kepada kedua dunia, mendenyut hatinya penuh urfan

Hemat ugahari dalam benda duniawi, tinggi tujuannya, Muslim bergerak maju

Hormat adab dalam sikapnya, menundukkan hati sekejap mata

Kasih sayang pengfampun bagi yang bersalah, dahsyat dalam memburu

Baik dalam perang dan pesta raya, murni fikiran dan perbuatan

Dalam iman hambaNya rahman dan rahim Tuhan

Cinta dalam pengertian yang luas dan mendalam itu menimbulkan kesan yang sedemikian agung dan hebatnya.

Beliau berlagu tentangnya:

Dasarmu kuat menyendi, tiada terkira tiangmu agung juita

Tinggi menjulang bagai pohon palma di luasan pasir Syria

Cahaya bagai dilihat Nabi Musa, bersinar di dinding dan atapmu

Atas menaramu tinggi berdiri Jibril syahdu -menggaya

Tak kunjung padam dan kalah roh Muslim

Selama azan menggema rahasia Ibrahim dan Musa

Tak berbatas dunia, tak bertepi ufuknya panjangf

Tigris dan Danube dan an-Nil sedenyut gelombang dalam lautnya

‘Lah dilihatnya hari demi hari gemilang

Ajaib kisah diketahuinya

Muslim sampai abad usang berdebu mengendalikan komando “Maqju”!

Dia pemancar cinta, berkuda diarena cita

Murni dan tak bercampur pialanya, bernilai tinggi

Perajurit berjubah besi: la ilaha illaLlah

Di bawah bayangan: Tiada Tuhan melainkan Allah!

Peribadi yang paling berjaya mengrealisasikan isyq (cinta) dan faqr (kefakiran dalam erti luas) ialah rasulullah saw. Beliau bersenandung:

Dalam hati Muslim bermukimlah al-Mustafa

Dan seluruh kurnia kita berasal dari nama al-Mustafa

Gunung Sinai hanyalah sejemput titik debu dari rumahnya

Kabah rabiyatul-harm tempatnya berkediaman

Keabadian kian meluas oleh wujudnya,

Dia tidur di atas tikar lalang

Tetapi di bawah tapak kaki umatnya terhampar mahkota Kisra

Dan tempatnya berkhalwat ialah gua Hira

Diwujudkannya negara hukum dan pemerintahan

banyak dialaminya malam tidak tidur lena

Supaya umatnya dapat bermukim di singgahsana Persia

Dalam detik perjuangan besi hancur oleh pedangnya

Dalam saat sembahyang waspa jatuh bagaikan hujan dari matanya.

Jelas Iqbal memnyatakan bahawa sifat isyq dan faqr silih berganti menguatkan peribadi insan menjadi mulia dan sempurna.

Dalam pengertian biasa orang yang faqir ialah orang yang meminta dan yang dimaksudkan di sini ialah sikap tidak mempedulikan harta dan nilai duniawi dan tidak terikat hati dan jiwanya kepada harta benda oleh kerana cita-citanya mengatasi alam benda dan harta benda. Sikapnya suka menolong yang baik dan yang jahat mengikut perspektifnya, juga berbuat baik kepada yang tinggi dan yang rendah, manusia dan haiwan. Inilah sikap faqir yang berupa pakaian bagi semua makhluk yang disebutkan dalam Quran dalam ayat yang bermaksud Allah Maha kaya dan kamu “sekelian makhluk adalah faqir (Surah Muhammad: Ayat 38).

Dengan itu maka para sufiah menganjurkan sifat faqr dalam diri manusia; selain daripada pertimbangan tentang benda ianya merujuk kepada keseluruhan sikap manusia itu sendiri terhadap Tuhan dan para makhlukNya.

Dalam sebuah surat kepada anakandanya Javid beliau bersajak (terjemahan Bahrum Rangkuti):

Bina di kerajaan cinta tempatmu bersemayam

Ciptakan zaman baru, fajar nan malam kemilau

Tenunkanlah katamu, jika Tuhan melimpahi kau sahabat alam

Dari kesenyapan mawar dan teratai mengimbau

Janganlah pinta kurnia situkang gelas maghribi pintar

Bikin piala dan gendimu dari tanah lempungmu berpendar

Laguku penaka buah anggur ditangkai pohonnya

Buat minumanmu merah mengalir dari kumpulannya

jalan hidupku bagai fakir tiada syahdu menggaya

jangan jual peribadimu seraya berpakaian peminta-minta

Dengan itu maka si faqir maksudnya ialah peribadi yang berusaha bagi menjayakan cita-cita luhur bukan kerana berkehendakkan kebendaan atau kelebihan duniawi, tetapi kerana mencari keredhaan Tuhan dan kerana hendak melahirkan ciri-ciri mulia dan unggul dalam masyarakat berdasarkan kepada maksud dan pengajaran nama-nama dan sifat-sifat Tuhan.

Selain itu sifat-sifat lain yang menguatkan peribadi pada mesej Iqbal ialah sifat berani, berlapang dada, berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal (kasb-o-halal), dan mengerjakan ussaha yang asli dan kreatif.

Berani yang dipuji itu ialah berani dari segi fisikal dan moral yang ada pada seseorang yang menyebabkan ianya boleh melakukan sesuatu yang baik dan penting dalam hidup ini. Orang yang berani dalam memperjuangkan kebaikan dan kebenaran memandang aral melintang dalam perjalanan hidupnya sebagai peluang untuk memperkembangkan watak dan tabiat dirinya supaya timbullah dalam dirinya sifat-sifat yang mulia dan utama supaya ia menjadi peribadi yang hampir kepada tuhan melalui sfat-sifat-nya.

Beliau melagukan:

Biarlah cinta membakar semua keraguan dan syak wa sangka

Hanyalah kepada Yang Esa kau tunduk, agar kau menjadi singa.

(Bahrum Rangkuti).

Sifat berlapang dada atau toleransi yang mulia dalam peribadi yang kuat itu ialah sifat berlapang dada terhadap perbuatan atau pendapat orang lain walaupun ianya berlainan daripada perbuatan atau pendapat yang kita harap-harapkan; dan ini datang daripada kebesaran jiwa dan sifat pemurah dalam kalbu orang yang utama. Dalam suasana demikian maka perkembangan peribadi manusia berlaku dengan baiknya dalam masyarakat yang mengamalkan nilai utama ini.

Iqbal menyatakan dalam “The Reconstruction of Religious Thought in Islam”, asas memupuk dan memelihara keakuan (ego) itu ialah menghormati keakuan (ego) dalam diri sendiri dan keakuan dalam diri orang lain. (Ego di sini dimaksudkan ego dalam pengertian yang positif). Beliau melagukan hakikat ini (terjemahan Bahrum Rangkuti dengan sedikit penyesuaian):

Amatlah salah menyatakan kata yang buruk

Kafir dan Mumin sama-sama ciptaan Tuhan

Kemanusiaan bereerti menghormati manusia

Maka tumbuhkanlah dalam dirimu kejayaan insan

hamba yang mempunyai cinta mencari taufiuk dari Tuhan

Dia ramah kepada orang kafir dan yang beriman

Yang dimaksudkan Iqbal ialah sikap toleransi yang datang dari keyakinan teguh tentang kebenaran Islam dan sikap taat kepada Quran yang menyatakan ayat yang bermaksud “Tidak ada paksaan dalam agama” (Surah Al-Baqarah: Ayat 256).

Berusaha mencari rezeki yang halal merupakan satu ciri yang menguatkan peribadi. Dari segi fiqh maksudnya ialah mencari rezeki dengan cara yang sah tanpa melibatkan penipuan, pengkhianagtan, rasuah dan seterusnya. Iqbal memperluaskan maksudnya selain daripada yang tersebut itu ialah memperoleh cita dan fikiran denga nusaha dan tenaga sendiri; atau memahami masalah-masalah mengikut suluhan cahaya kitab Ilahi dan dengan pemerasan pemikiran yang sematang-matangnya. Dengan konsep yang sedemikian seseorang itu akan menjadi matang dalam mencari ilmu dan kefahaman mengikut ajaran Ilahi dan dengan itu peribadinya menjadi semakin sempurna dan hampir kepada Tuhan; pada pendiriannya apa-apa yang didapati bukan dengan usaha sendiri melemahkan peribadi. Beliau bersenandung (Dari Bahrum Rangkuti dengan sedikit penyesuaian):

Haruslah kau malu mewarisi intan berlian dari leluhurmu

Bagaimana mungkin ini memberi nimat kepadamu dalam usaha memburunya.

Katanya lagi:

Nyalakanlah dari dalam debumu sendiri kilauan api tak kentara selama ini. Apakah gunanya beroleh sinar cemerlang orang lain?

Berusaha secara kreatif dan asli merupakan satu daripada sifat-sifat yang menguatkan peribadi. Perbuatan meniru-niru orang lain dan menyatakan itu usaha sendiri melemahkan peribadi.Seorang mumin hendaklah mempunyai kuasa cipta pada paras manusiawinya sendiri.Dengan itu ia hampir kepada Tuhan Maha Pencipta.

Dalam perjalanan menyempurnakan diri manusia mesti melalui tiga peringkat; peringkat taat kepada Tuhan; menguasai diri sendiri yang berupa kesedaran tertinggi dari segi keakuannya; dan akhirnya niayabat Ilahiah.

Taat kepada Tuhan berlaku dengan jalan manusia mengenal Tuhan dan KehendakNya dan Syariatnya dan ia taat kepada KehendakNya. Kemudian bila ianya matang dengan demikian ia menguasai dirinya dengan sebaik-baiknya. Kemudian ia bertindak sebagai khalifah Tuhan di bumi.

Insan sempurna demikian dilukiskan oleh beliau dengan indahnya:

Menjelmalah kau, wahai pengendali takdir

Menjelmalah kau, wahai sinar cerah gelita perkisaran

Diamkanlah bising dan gelisah negara demi negara

Nimati telinga kami dengan lagumu

Bangkitlah kau dan canangkan gema persaudaraan

Berilah kepada kami piala kecintaan

Kesankan kepada kami sekali lagi perdamaian di dunia ini

Berilah pesan perdamaian kepada mereka yang suka berjuang

Umat manusia ialah padang gandum dan kau panennya

Kaulah tujuan kafilah kehidupan.

Sudah tentunya ini adalah bersemaan dengan ciri-ciri yang ada pada Nabi Muhammad saw dan mereka yang terpilih sebagai manusia yang sempurna dalam kehidupannya.

Jalan kehidupan yang sedemikian adalah jalan kehidupan yang unggul yang sepatutnya dijalani oleh semua orang-orang yang bercita-cita tinggi lagi mulia. Satu idealisme hakiki yang menjadi aspirasi manusia yang jernih pemikiran dan jiwanya.

Beberapa pengajaran boleh diambil daripada perbincangan di atas. Antaranya:

bullet

bagaimana perlunya difahami oleh Muslim semasa - apa lagi golongan penulis - warisan sastera Islam yang kaya itu dengan kepelbagaian aspekjnya

bullet

bagaimana perlu pula difahami fenomena pemikiran dan budaya semasa dengan mendalam sampai kepada tahap memiliki kemampuan memberi kritikan mendalam tentangnya

bullet

bagaimana perlu dikuasai bahasa sendiri dan bahasa Barat serta bahasa warisan Islam - Arab dan lainnya - demi untuk menyelami perbendahraan warisan Islam dan budaya serta sasteranya

bullet

bagaimana perlunya dibentuk peribadi sendiri supaya terbentuk keunggulan yang dicita-citakan setakat termampu

bullet

dan bagaimana perlu diadakan persiapan intelektuil, moral dan spiritual demi menghadapi pemikiran semasa termasuk bahaya globalisasi dan pascamodenisme yang menafikan semua sistem yang bersifat menyeluruh seperti metafisika, ontologi, aksiologi dan ajaran rohaniah yang menjadi paksi segalanya.

Sebagai kesimpulannya, persajakan Iqbal berupa persajakan yang menggabungkan antara kebenaran, keindahan, serta kemuliaan yang mengangkat martabat manusia kepada martabat yang sewajarnya sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya serta memberansangkannya untuk membina kehidupan, budaya dan peradaban di atas dasar-dasar kebenaran, keadilan, persaudaraan dan keindahan sejagat - dengan menyedari pula reality semasa - sebagaimana yang dimanifestasikan dalam ajaran Islam dan sejarahnya.


3 comments:

azriladha said...

artikel takdak manfaat.. pelik.. tak paham..falsafah tak mena2.. konon2 baguss

Uthman said...

"adakah patut aku menabur permata di kandang haiwan ternakan.."

haiwan ternakan yang tidak tahu akan betapa berharganya permata, tetap tidak akan dapat menilainya.. walaupun sampai bila-bila..

الخروج في سبيل الله said...

yang cerdik pandai sahaja faham, selain daripada itu kejarlah matlamat ilmu apa yang dalam kekurangan, inilah sifat-sifat tasawwuf cerdik pandai bijak akal memikirkan kejadian allah swt sehingga jauh lebih hebat dari kaum yahudi mendalami ke alam semester dan memuji keagungan pemilik setiap makhluk dan kejadian alam semesta berucap subhanallah berulangkali setiap jawapan di temui di dalam al-quran. hanya orang jahil sahaja tidak ketahui apa yang di ketahui pada orang-orang yang ilmuan.