OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
· Dalam hubungan dengan ayat:
كنتم خير امة اخرجت للناس _ال عمران 110
“Kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk faedah umat manusia” dan seterusnya “kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”
Maka dalam “Tafsir al-Qurtubi”
· dinyatakan bagaimana umat Islam terbaik di kalangan umat-umat manusia sebanyak tujuh puluh semuanya.
· Pada Ibn ‘Abbas rd: merujuk kepada mereka yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan menyaksikan perang Badar dan Hudaibiyah;
· Dilaporkan ‘Umar bin al-Khattab rd menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti mereka itu maka jadilah seperti mereka.
· Ada pendapat yang menyatakan mereka umat Nabi Muhammad saw, iaitu orang-orang yang soleh di kalangan mereka dan yang mempunyai kelebihan.Dan mereka yang menjadi saksi manusia di akhirat;
· Kata Mujahid rd : “Kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia…” mengikut syarat-syarat yang tersebut dalam ayat itu;
· Ada pendapat yang menyatakan : maknanya kamu dealam Lauh al-Mahfuz
· Ada pendapat yang menyatakan: kamu bila kamu beriman menjadi umat yang terbaik…
· Antaranya bermakna kamu dengan terkedepannya kamu daripada ahlil-kitab adalah sebaik-baik umat
· dan al-Akhfash rh menyatakan: ahli bagi umat ini, sebaik-baik ahli agama.
· Dari Abu Hurairah rd terdapat riwayat “Kamu umat terbaik yang dikeluarkan bagi umat manusia” , katanya kamu menarik manusia dengan rantai kepada Islam.Kata al-Nahhas rh takdir mengikut huraian ini kamu bagi umat manusia semua sebaik-baik umat.
· Mengikut pendapat Mujahid rh kamu umat yang terbaik bila kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran .
· Ada pendapat yang menyatakan : umat Muhammad saw menjadi umat yang terbaik kerana Muslimin di kalangan mereka paling ramai, dan amar ma’ruf dan nahi munkar di kalangan mereka tersebar dengan meluas.
· Ada pendapat yang menyatakan: mereka sahabat rasulullah saw sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith “generasi yang terbaik generasiku” (qarni), iaitu yang aku dibangkitkan di kalangan mereka.
· Demikian seterusnya kelebihan mereka yang ada dalam dua atau tiga generasi selepas nabi saw.
· Diriwayatkan pula oleh Abu Umamah rd bahawa Nabi saw bersabda :
طوبى لمن رءانى و ءامن بى وطوبى سبع مرات لمن لم يرنى وءامن بى
Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatkyu walhal ia beriman kepadaku.
· Dan dalam “Musnad Abi Daud at-Tayalisi” terdapat riwayat dari ‘Umar rd katanya bahawa beliau duduk di sisi Rasulullah saw kemudian Rasulullah saw bertanya maksudnya :Siapakah yang paling afdhal sekali dari segi keimanan? Selepas para Sahabat menyebut para malaikat dan nabi, baginda bersabda:
افضل الخلق ايمانا قوم فى اصلاب الرجال يؤمنون بى ولم يرونى يجدون ورقا فيعملون بما فيه ويؤمنون بى ولم يرونى
“Makhluk yang paling utama sekali dari segi keimanan ialah kaum yang ada dalam sulbi para lelaki yang beriman denganku walhal mereka tidak melihatku, mereka mendapati helai-helai kitab kemudian mereka beramal dengan apa yang ada di dalamnya, mereka itulah makhluk yang paling utama dari segi keimanannya”
· Ringkasnya dalam “:Tafsir al-Qurtubi” dinyatakan bahawa dalam membuat kesimpulan tentang hadith-hadith berkenaan dengan bab ini ialah: generasi zaman nabi saw ada mempunyai keutamaan kerana mereka asing -ghuraba’- dalam keimanan mereka dengan ramainya para kuffar dan kesabaran mereka dalam menghadapi kesakitan, dan mereka terus menerus berpegang kepada agama mereka; dan mereka yang akhir dalam umat ini pula bila mereka itu mendirikan agama mereka dan berpegang kepadanya serta bersabar dalam mentaati Tuhan mereka dalam masa banyaknya kejahatan, kefasikan, dan pembunuhan yang tidak menentu (al-harj), serta kemaksiatan dan dosa-dosa besar, mereka juga menjadi orang-orang asing (ghuraba’) dan amalan-amalan mereka menjadi murni dan bertambah-tambah sebagaimana murni dan bertambah-tambahnya amalan mereka yang awal itu.Ini dibuktikan oleh hadith yang bermaksud “Islam bermula asing, dan ia akan kembali asing, maka berbahagialah orang-orang asing (ghuraba’)…”
Dalam “Tafsir Ibn Kathir” dalam hubungan dengan ayat ini terdapat kenyataan-kenyataan yang berguna seperti berikut, antaranya:
· Selepas menukil ayat yang bermaksud”kamu umat yang terbaik yang dilahirkan untuk faedah umat manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah; kalaulah Ahlil-Kitab itu beriman maka itu lebih baik bagi mereka; di kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik derhaka”, beliau menyatakan bahawa dengan ayat ini Allah memberitahu bahawa umat ini- umat Islam- adalah umat yang paling baik.
· dalam al-Bukhari ada riwayat dari Abu Hurairah rd “umat yang paling baik untuk umat manusia” iaitu kerana kamu menyeret umat manusia sehingga mereka masuk ke dalam Islam.
· Maknanya umat yang paling baik itu ialah umat yang paling bermenafaat bagi manusia.
· Ini pula diperkuatkan dengan hadith riwayat Durrah binti Abi Lahab yang menyatakan bila ditanya tentang manusia yang paling baik, Rasulullah saw menjawab di atas minbar”Manusia yang paling baik ialah yang paling tahu membaca Quran, yang paling bertaqwa kepada Allah, yang paling menyuruh kepada yang ma’ruf, yangt paling mencegah kemungkaran dan yang paling menghubungkan silatur-rahim”.
· Dalam hubungan dengan ini semua Ibn Kathir rh menyatakan bahawa yang sahihnya ialah maksud ayat ini ialah umum untuk semua umat Islam ini, tiap-tiap generasinya, dan generasi yang terbaik ialah generasi yang Rasulullah saw dibangkitkan di kalangan mereka kemudian mereka yang berikutnya kemudian mereka yang berikutnya.
Ciri-Ciri Umat Yang Terbaik
· Antaranya ialah menyuruh kepada kebaikan
· mencegah kemungkaran
· Beriman kepada Allah.
Yang menentukan kebaikan dan keburukan ialah kehendak Allah sebagaimana yang ada dalam Quran dan Sunnah dan perkara-perkara lain didasarkan kepada kias mengikut apa yang ada dalam keduanya sebagaimana yang terkenal dalam usul al-Fiqh dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah.
· Sebutan tentang keimanan terakhir itu bukan bermakna ianya terakhir dari segi kepentingannya; ianya disebut terakhir kerana yang kelihatan pada mata manusia ialah amalan-amalan lahiriah seperti amar ma’ruf dan nahi munkar;keimanan yang menjadi dasar kepada kedua-duanya.
· Dalam segi yang berbeza umat yang terbaik itu boleh dilihat dari segi keimanannya kepada Allah yang benar dan betul tanpa kesesatan, kesyirikan, dan kekufuran.Aqidahnya yang disepakati ulama umat ini ialah aqidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang awalnya diajarkan oleh nabi saw dan para Sahabatnya, Aqllah meredhai mereka.Kemudian dihuraikan akidah ini oleh para ulama Ahlis-Sunnah yang datang kemudiannya.
· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dari segi mereka melaksanakan tugas-tugas kerohanian dalam hubungan degan Tuhannya dan para makhlukNya.Ini antaranya jelas dari maksud ayat: “(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang , menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf, dan mencegah dari perbuatan yang munkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan”.(al-hajj.41).
· Ini boleh dilihat dari segi orang perseorangannya dalam penghayatan hidup pengabdian kepada Tuhan dalam semua perkara sebagaimana yang ada dalam maksud doa iftitah orang yang melakukan sembahyang.dan memang ini bersesuaian denga matlamat kejadian manusia ialah untuk pengabdian kepada Tuhan (al-Dhariat.56).
· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam akhlaknya yang mulia dan tinggi sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat :”:Demikianlah kami jadikan kamu umat menengah” (ummatan wasata) (al-Baqarah.143) yang memaksudkan umat yang adil dan pilihan.Dan nabi saw sendiri dipujikan oleh Allah berdasarkan akhlaknya sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat “Sesungguhnya akhlak tuan hamba adalah agung” (Nun.4).dan terkenal dalam hadith Abu Daud bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (makarim al-akhlak).
· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam ketaatannya kepada Hukum Ilahi yang datang dalam bentuk Syariat yang sempurna yang menyeluruh sifatnya.Ciri-cirinya ialah kesyumulan, keadilan, keseimbangan, perlaksanaan hak-hak pada tempatnya, kesediaan memberi tempat bagi perubahan-perubahan yang diperlukan oleh perubahan tamadun manusia, meletakkan sesuatu mengikut kedudukannya, kesesuaian dengan fitrah manusia dan hukum alam.Tidak ada sistem hukum yang boleh dibandingkan dengannya.
· Ketundukan umat terbaik ini kepada Hukum Islam tergambar dalam Quran dalam ayat yang bermaksud :”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan tuan hamba sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang tuan hamba berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”(an-Nisa’.65).
· Umat terbaik ini juga kelihatan ciri-cirinya dalam persaudaraan yang dijayakan dalam zaman awal Islam sehingga melalui hubungan persaudaraan dalam keimanan yang kuat itu timbul kegigihan dalam menjayakan Islam dan mengembangkannya sampai ianya tersebar di dunia.
· Selain daripada perpaduan, persaudaraan dan kerjasama yang timbul hasil daripada semangat keagamaanyang murni, Ibn Khaldun rh dalam ‘al-Muqaddimah”nya memberi huraian pada beberapa tempat dalam teksnya itu kepentingan “al-‘asabiyah” atau kesetiakawanan yang positif yang menjadi syarat bagi menjayakan agama dan tamaddun dalam sejarah manusia.
Dunia Melayu-Nusantara
· Secara ringkasnya elok rasanya disebutkan bahawa dalam hubungan dengan kewujudan Dunia Melayu sebagai sebahagian Alam Islam ianya ditentukan oleh tiga wacana agung Sunni seperti berikut(selain daripada Quran dan Sunnah yang mendasari segalanya):
· Pertamanya dari segi akidahnya ianya Ahlis-Sunnah wal-jamaah berdasarkan kepada huraian-huraian Rukun Iman dan cawangan-cawangannya mengikut Imam Abul-hasan al-Asy’ari rd dengan tambahan-tambahan bila diperlukan samaada dalam hubungan dengan aspek-aspek klasik atau moden yang berkaitan.Pada penulis ini mesti dikekalkan, dengan tambahan-tambahan seperlunya serta dengan penyesuaian-penyesuaiannya.
· Keduanya dari segi Syariat, rantau ini mendapat panduan daripada Imam Mujtahid Sunni, iaitu Imam Syafi’I rd, dengan tambahan-tambahan seperlunya.
· Ketiganya dalam bidang kerohanian dan akhlak rantau ini mendapat bimbingan yang banyak daripada Imam Hujjatul-Islam Muhammad al-Ghazali rd terutama dengan”Ihya’”nya dengan tambahan-tambahan seperlunya.Pada penulis ketiga-tiga wacana agung Sunni perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan dan penyesyuaian-penyesuaian yang seperlunya.Ini demi untuk menjaga kesahihan pegangan dan amalan serta untuk menjamin sifat keseragaman acana intelektuil Islam untuk menjadi asas perkembangan budaya dan tamadun Islam rantau ini seterusnya dengan izin Ilahi.
· Keempatnya penulis mahu membuat cadangan- sebagai wacana agung keempat untuk rantau Dunni ini - iaitu eloklah dijadikan “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun rh sebagai panduan dalam hubungan dengen pemerkasaan budaya dan tanmadun rantau ini dan juga hubungannya dengan Alami Islam yang lebih besar.
· Empat wacana agung ini seharusnya diperkasa dan dihayati dirantau ini dengan tambahan-tambahan seperlunya.
Pengajaran Dari Sirah Nabawiyah
Dalam hubungan dengan pengajaran dari Sirah Nabawiyah menyentuh usaha pembinaan umat ini ada beberapa perkara ringkas yang boleh disebutkan:
· Sudah tentu pertama-tamanya perkara akidah perlu diutamakan, iatu akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang perlu disampaikan kepada umat dalam bentuk yang senang difahami dan diterima oleh mereka, dengan mengambil kira cabaan-cabaran semasa yang dihadapi, supaya dengan itu penerimaan akidah berjalan dengan kefahaman yang baik dan jelas.
· kalau kanak-kanak maka hendaklah ianya disesuaikan dengan mereka dengan diberikan alasan-alasan yang senang diterima oleh mereka.Pendeknya tiap-tiap golongan mendapat pendedahan yang sewajarnya.
· cabaran-cabaran akidah dalam bentuk lama atayu baharu- termasuk pascamodenisme- perlu didedahkan kepada golongan sasaran bila ianya relevan.Kalau tidak relevan, tidak perlu diberikan.
· Keduanya kefahaman tentang tugas-tugas rohaniah yang dimestikan bermula dengan tugas-tgas seperti sembahyang, dimulakan dengan apa-apa yang wajib, kemudian ditambah dengan yang sunat-sunat dan adab-adabnya.Pendedahan hendaklah menarik dan sesuai dengan keadaan golongan sasaran.
· Ketiganya kefahaman tentang nilai-nilai baik buruk yang sewajarnya diberikan dengan cara yang meyakinkan golongan sasaran, dengan berdasarkan dalil nakli dan akli, dengan mengambil kira apa-apa perkembangan semasa yang ada.hendaklah ditunjukkan bagaiman unggulnya ajaran tentang nilai yang adapada Islam dan bagaimana melesetnya ajaran yang bercangfgah dengannya samaada dari segi intelektuil atau segi sejarah dan kesan dalam masyarakatnya.
· Keempatnya hendaklah didedahkan dengan sewajarnya kefahaman tentang sistem Syariat Islam yang unggul dan meliputi yang semestinya dijunjung dan diamalkan oleh semua orang secara perseorangan dan kolektif sehabis daya upayanya.Halangan-halangan hendak;lah diselesaikan dengan cara yang baik dan bijaksana dan berterusan tahap demi tahap.
· Kelimanya seruan kepada kebenaran agama ini hendaklah dilakukan mengikut apa yang diajarkan oleh al-Quran iaitu dengan hikmah kebijaksanaan bila sesuai dengan sasarannya, kemudian kalau tidak sesuai dengan nasihat yang baik, kemudian kalau tidak sesuai dengan bahasan yang lebih baik (an-nahl.125).Bil-hikmah adalah untuk mereka yang hatinya enang menerima hikmah kebijaksanaan terdiri daripada ilmu yang betul dan bermenafaat sampai bila-bila seperti yang ada dalam Qran dan Sunnah; dengan nasihat yang baik itu adalah kaedah dalam menghadapi mereka yang tidak degil tetapi senang menerima nasihat yang baik terdiri darpada unsur menggemerkan kebaikan dan meliarkan daripada kejahatan; kaedah berbahas dengan apa yang paling baik itu dalam menghadapi mereka yang degil.Semuanya memerlukan persiapan.
· Keenamnya da’wah itu boleh dilakukan secara individu dan juga secara kelompok; secara lisan dan juga amal perbuatan dan contoh tauladan;
· Sudah tentu para da’I hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai persiapan ilmu yang memadai bagi menghadapi sasarannya termasuklah ke dalamnya kefahaman bahasa golongan sasaran yang dihadapi berdasarkan kepada nabi saw menghantar para sahabatnya kepada kaum yang mereka mempunyai kebolehan dalam bahasa mereka itu.
· Ketujuhnya para da’I hendakleh terdiri daripada mereka yang mengatasi polarisasi umat dengan semangat kepuakan masingp-masing; mereka adalah seolah-olah “wakil Rasulullah saw” dalam menjayakan “tabligh”nya.
· Usaha-usaha mempengaruhi mereka dalam kalangan pimpinan hendaklah dilakukan dengan bijaksana, berkesan serta siasah yang halus dan penuh keberkatan.Hanya Allah sahaja yang memberi pertolongan sebenarnya .
Kesimpulan
· Inilah antaranya beberapa renungan sekitar “khaira ummatin”, ciri-cirinya, dan contoh tauladan dalam menuju ke arah pembentukannya - dengfan izin Ilahi - sebagaimana yang terdapat contohnya dari Sirah Nabawiyah.Wallahu a’lam.